PRN Johor: Tawaran jawatan kerajaan bukan kehendak PAS

Tekad jadi pengimbang kepada kerajaan

- Advertisement -

TEBRAU: Isu jawatan dalam Kerajaan Negeri Johor seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan sekiranya ditawarkan kepada parti sekalipun, ia sama sekali bukanlah menjadi keutamaan PAS.

- Advertisement -

Perkara itu ditegaskan oleh calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi kerusi N.40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Khir.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan PAS ditawarkan jawatan ADUN Lantikan sekiranya memberi sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan selepas hari pengundian pada 11 Julai nanti.

“Secara dasar itu terpulang kepada pihak yang memerintahlah. Sebab tawaran begitu. Takkan kita nak kena minta. Dia yang kata, dia akan tawarkan, terpulang kepada dialah. 

“Dia nak beri kepada PAS contoh satu, pada DAP satu contohlah kan. Disebutkan ada lima jawatan tu kan yang dilantik itu? Di sebelah kita (PAS), kita tak ada pun nak maknanya nak menawarkan diri.

“Ini peribadi sayalah yang saya nampak, kita (PAS) tak adalah nak minta satu ke dua ke (jawatan itu), tak ada. Itu terpulang (kepada pihak kerajaan). Tapi dapat atau tidak itu bukan dari sudut perkara yang menjadi keutamaan kita,” tegasnya

Tambah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor itu, fokus PAS adalah untuk bertanding dan mendapatkan mandat rakyat bagi membolehkan usaha membantu rakyat dilaksanakan dalam kerajaan, tanpa menjadikan jawatan sebagai keutamaan. 

“Pertama, kita hari ini masuk bertanding dengan keadaan untuk dapat mandat daripada rakyat dan perkara itu kita akan dapat manfaatkan sepenuhnya untuk bawa hal-hal rakyat ni di dalam kerajaan. Walaupun dapat atau tak dapat itu bukan cerita dia,” tegasnya lagi.

Selain itu, Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu turut menegaskan, kemungkinan untuk mana-mana parti mentadbir secara solo dalam landskap politik semasa sebagai sesuatu yang sukar. 

Menurut beliau, situasi politik hari ini memperlihatkan kecenderungan parti-parti bergerak dalam gabungan, termasuk PN dan BN, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan kerjasama selepas keputusan pilihan raya.

“Contoh sekarang ni kita pun dah bergerak secara jama’i, contohnya PERIKATAN NASIONAL, BN dan seumpama dengannya yang dianggotai beberapa parti. Jadi dalam keputusan nanti pilihan raya, macam-macam akan berlaku.

“Kita tak tahu. Dan kemudian mungkin akan berlaku kerjasama yang lain pula nanti. Mungkin selepas keputusan penuh keluar, kita tak tahu (lagi),” ulas beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jangkaan terhadap penyertaan PAS yang mempertandingkan 11 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, serta peranan parti itu dalam landskap pembentukan kerajaan negeri.

Mengulas mengenai PAS hanya mampu memenangi sekitar 11 kerusi, beliau menyifatkan situasi itu sebagai masih mencabar di Johor, namun menegaskan ia tetap memberi makna dari sudut peranan politik.

“Kalau kita tengok sejarah Johor, PAS ini pernah dapat paling tinggi empat kerusi. Jadi suara kita walaupun sikit, dia akan menjadi pengimbang kepada kerajaan. Jadi inilah yang PAS lakukan,” imbasnya.

Beliau menjelaskan, peranan sebagai pengimbang kepada kerajaan merupakan antara peranan utama PAS sekiranya tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, termasuk dalam memastikan dasar yang dilaksanakan selari dengan pendekatan parti.

“Jadi kalau ada peluang untuk memerintah, itu tak tahulah macam mana gabungan yang berlaku. Tapi sekurang-kurangnya dengan kita mengharapkan daripada 11 DUN ini dia menjadi pengimbang.

“Dan itu yang Tuan Guru Presiden (PAS) maklum, kita akan jadi pengimbang kepada kerajaan yang sedia ada dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan supaya selari dengan apa yang kita bawa. Kalau dekat Johor sendiri ‘Berkat, Prihatin dan Sejati’,” ulas beliau.

Menurut beliau lagi, keputusan pilihan raya juga boleh membawa kepada pelbagai bentuk kerjasama politik selepas keputusan penuh diumumkan.

“Kalau kita tengok pada senario politik semasalah, memang agak mustahil. Kalau kita lihat hari ini parti itu bergerak sendiri-sendiri nak memerintah, agak mustahil dengan semasa sekarang ini,” jelasnya.

Dalam masa sama beliau menegaskan, keutamaan PAS adalah konsep penyatuan gabungan Melayu-Islam dalam usaha mentadbir kerajaan, selain mengelakkan wujudnya sebarang tekanan luar terhadap Islam.

“So kita tak nak ada anasir-anasir luar, yalah mungkin tekanan-tekanan berlaku kepada Islam sendiri mungkin. Dan itu yang sebenarnya rakyat nampak benda itu. Jadi ‘ala kulli hal’, kita cuba usaha yang terbaiklah,” terangnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2026

- Advertisement -