‘Goverment in waiting’: Bina imej PAS sebagai pemerintah

- Advertisement -

ROMPIN: PAS perlu terus membina imej sebagai sebuah parti yang bersedia untuk mengambil alih pemerintahan negara dengan menampilkan pemikiran, dasar dan kepimpinan yang meyakinkan rakyat.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, seluruh saf kepimpinan dan ahli parti mesti memiliki pemikiran government in waiting.

Menurutnya, ini supaya rakyat melihat PAS sebagai sebuah gerakan politik yang bukan sahaja mampu menjadi pembangkang berprinsip, bahkan berkeupayaan untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

“Kita mesti ada minda government in waiting supaya rakyat melihat bahawa kita benar-benar berupaya untuk memerintah.

“Imej, karisma, gerak kerja, dasar dan kepimpinan perlu terus ditonjolkan kepada masyarakat,” katanya ketika merasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Rompin Kali Ke-42 di Villea Rompin Resort & Golf, di sini semalam.

Tambahnya, PAS tidak boleh sekadar bergerak dalam kerangka politik semasa, sebaliknya perlu berfikir lebih jauh mengenai dasar, kaedah dan pendekatan pentadbiran yang bakal dilaksanakan apabila diberikan mandat oleh rakyat.

Beliau turut mengaitkan perjuangan politik Islam dengan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, yang merupakan satu strategi besar bagi membina kuasa pemerintahan Islam di Madinah.

Katanya, perjuangan mendapatkan kuasa pemerintahan menuntut pengorbanan besar sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Ali Abi Talib yang sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW ketika ancaman pembunuhan oleh puak musyrikin Quraisy.

Selain itu, ujarnya peranan besar Asma’ binti Abu Bakar dan Saidatina Aisyah RA dalam membantu menjayakan peristiwa hijrah tersebut.

“Hijrah mengajar kita bahawa perjuangan menegakkan Islam bukan sekadar dakwah, tetapi memerlukan strategi, pengorbanan dan kesediaan untuk membina pemerintahan,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, mesyuarat meluluskan usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS kawasan agar kerusi DUN Muadzam Shah ditandingi oleh calon daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-16, selari dengan kekuatan jentera dan perkembangan semasa politik di kawasan ini. – HARAKAHDAILY 29/6/2026

- Advertisement -