PAS Sabah: Ingat tarikh keramat 19 Mei 1986

- Advertisement -

KALABAKAN: Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid mengimbau sejarah penubuhan PAS di negeri ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli terhadap tarikh keramat 19 Mei 1986 sebagai detik rasmi PAS bertapak di Sabah.

“Sebagai ahli, ingatlah tarikh keramat ini apabila PAS bertapak secara rasmi di bumi Sabah iaitu pada tanggal 19 Mei 1986,” katanya.

Beliau yang mewakili Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kalabakan Kali Ke-15 di Maahad Tahfiz Darul Quran (MTDQ), Kampung Sungai Imam, dekat sini, kelmarin. (Foto atas)

Menurutnya, penyertaan PAS dalam pilihan raya merupakan isyarat jelas kepada rakyat bahawa PAS tampil membawa tawaran solusi politik Islam kepada masyarakat dan negara.

“Kita menyertai pilihan raya sebagai signal daripada PAS untuk rakyat dengan tawaran solusi politik Islam,” ujarnya.

Katanya, antara perkara penting untuk mencapai kemenangan ialah pertambahan ahli dan cawangan PAS.

Justeru, Sahar menegaskan kepentingan memperkukuh kekuatan parti melalui pertambahan ahli dan cawangan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.

“Dalam menyertai pilihan raya, perkara yang penting untuk mencapai kemenangan adalah pertambahan ahli dan cawangan PAS,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kalabakan, Ahmad Dullah berkata tema ‘Memperkukuh Saf, Menyatukan Ummah’ bukan sekadar slogan, sebaliknya komitmen untuk membina kesatuan hati, kesepaduan fikiran dan keselarasan tindakan dalam kalangan umat Islam.

“Tema ‘Memperkukuh Saf, Menyatukan Ummah’ bukan sekadar seruan di bibir, tetapi satu komitmen untuk membina kesatuan hati, kesepaduan fikiran dan keselarasan tindakan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Tambahnya, kekuatan umat Islam hanya akan lahir melalui perpaduan yang dibina atas dasar akidah dan ketakwaan.

“Apabila umat Islam bersatu atas dasar akidah dan ketakwaan, mereka akan menjadi umat yang kuat, dihormati dan mampu menghadapi pelbagai cabaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan seluruh anggota jamaah agar berperanan sebagai pendamai dan penyatu ummah apabila berdepan sebarang perselisihan.

“Apabila berlaku perselisihan, tanggungjawab kita bukan menambahkan api perpecahan, tetapi menjadi agen pendamaian dan penyatu ummah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/6/2026

- Advertisement -