Hidup di kampus perlukan sahabat baik, bina kepedulian

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Pelajar yang bakal melangkah ke institusi pengajian tinggi diingatkan supaya tidak menganggap tawaran kemasukan ke universiti sebagai penamat perjuangan, sebaliknya permulaan kepada proses pembentukan diri yang lebih mencabar.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berpesan demikian pada Majlis Meraikan Pelajar Lepasan SPM DUN Sijangkang yang diadakan di Taman Rekreasi Paya Bakau, Kampung Sijangkang, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurutnya, kehidupan di kampus bukan sekadar menuntut ilmu di dalam bilik kuliah, malah menjadi medan untuk mempelajari kemahiran mengurus masa, kewangan, emosi dan disiplin diri.

“Di kampus nanti, bukan setakat belajar dalam kelas. Di situlah kita belajar urus masa, urus duit, urus emosi dan paling penting, urus diri sendiri. Semuanya bergantung pada disiplin diri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar supaya bijak memilih rakan kerana pengaruh persekitaran memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang.

Katanya, pelajar perlu mencari sahabat yang mempunyai matlamat dan semangat sama untuk berjaya, selain menjauhi budaya yang boleh menjejaskan prestasi akademik serta pembangunan diri.

Menjawab tanggapan bahawa kejayaan di universiti hanya memerlukan seseorang memberi tumpuan kepada urusan sendiri tanpa mempedulikan orang lain, beliau menegaskan pandangan itu tidak tepat.

“Binalah hubungan persahabatan dengan seramai mungkin orang kerana dalam setiap doa sahabat ada terselit kejayaan buat kita. Saya selalu pegang, bila kita mudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar agar tidak terlalu leka dengan media sosial sehingga mengabaikan peluang membina pengalaman dan kemahiran di dunia sebenar.

“Jangan terlalu selesa dengan dunia media sosial sampai lupa bina dunia sebenar. Sertai program, tambah kenalan, belajar kemahiran baharu dan rebut peluang sebanyak mungkin.

“Kadang-kadang pengalaman luar dewan kuliah itulah yang paling berharga apabila memasuki alam pekerjaan nanti,” jelasnya turut menekankan kepentingan menjaga hubungan dengan Allah walau sesibuk mana sekalipun menjalani kehidupan sebagai mahasiswa.

Menurut Muhammad Hanif, keberkatan ilmu bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga sejauh mana ilmu tersebut membentuk akhlak serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Hidup di universiti akan mengubah bukan sahaja apa yang anda tahu, tetapi juga siapa diri anda pada masa depan,” katanya pada majlis bertujuan menghargai pencapaian pelajar serta memberi suntikan semangat sebelum mereka menyambung ke pengajian tinggi.

Majlis Meraikan Pelajar Lepasan SPM DUN Sijangkang diadakan sebagai usaha menghargai kecemerlangan pelajar selepas keputusan SPM diumumkan, di samping memberi pendedahan awal mengenai cabaran serta peluang yang bakal ditempuhi di institusi pengajian tinggi.

Program itu turut menjadi platform menyuntik motivasi kepada golongan muda agar terus cemerlang dalam bidang akademik, selain melengkapkan diri dengan sahsiah dan kemahiran insaniah yang diperlukan apabila melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sumbangan dan keraian pada majlis itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat. – HARAKAHDAILY 23/6/2026

- Advertisement -