
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) telah menerima maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan gabungan itu, hari ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, surat rasmi bertarikh 19 Jun 2026 ditujukan kepadanya mengandungi beberapa perkara penting berkaitan rekod dan pentadbiran PN.
Menurut beliau, RoS mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari 2026 serta mengambil maklum kelulusan Majlis Tertinggi terhadap peletakan jawatan Pengerusi PN dan pelantikan Pengerusi PN baharu.
“RoS juga mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 14 Mac 2026 berserta senarai kepimpinan dan pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN yang baharu untuk direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, PN kekal komited memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
“Sehubungan itu, Perikatan Nasional kekal komited dalam memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832,” katanya.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Penegasan ini penting bagi memastikan segala urusan yang melibatkan nama dan organisasi Perikatan Nasional berjalan selaras dengan peruntukan perlembagaan parti serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2026











