
KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang menyifatkan kenyataan Menteri Besar Pahang bahawa gabungan itu mungkin tutup kedai susulan perubahan landskap kerjasama politik sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan realiti sokongan semasa rakyat.
Ketua Penerangan PN Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya, sebaliknya berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) lebih berdepan risiko kehilangan pengaruh politik jika trend sokongan semasa diteruskan.
Menurut beliau, prestasi PN di Pahang menunjukkan peningkatan berterusan berbanding BN yang menyaksikan kemerosotan jumlah kerusi sejak beberapa pilihan raya lalu.
“Sebenarnya kalau kita lihat prestasi di Pahang, PAS PN menunjukkan peningkatan yang ketara. Daripada hanya dua kerusi, kemudian lapan kerusi, sekarang sudah ada 15 campur 17 kerusi.
“Sebenarnya di Pahang ni yang merosot kerusinya ialah BN. Bukannya PAS, bukan. Yang merosot teruk sekarang ni ialah BN daripada berpuluh kerusi sekadar 13 kerusi dan hakikat di Pahang Umno ni bertongkatkan DAP.
“Kalau tanpa DAP, Umno tak akan boleh membina atau memerintah di Pahang.
Jadi statement Umno, PN akan tutup kedai kena tengok balik kepada BN. Boleh jadi BN tutup kedai awal,” katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang berhubung masa depan PN di negeri itu.
Terdahulu, media melaporkan slogan PN Teraju Pahang hanya tinggal laungan sahaja dan mereka dijangka menyelusuri laluan berliku selepas PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU baru-baru ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ‘perpisahan’ itu dilihat semakin tipis untuk menawan Pahang dalam pilihan raya umum akan datang.
Mohd Tarmizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching berkata, kedudukan BN di Pahang ketika ini juga bergantung kepada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP, bagi membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, tanpa sokongan parti-parti dalam PH, BN tidak mempunyai kekuatan mencukupi untuk mentadbir negeri secara bersendirian.
Katanya, kerjasama antara Umno dan DAP masih menjadi isu yang sukar diterima sebahagian rakyat, sekali gus memberi kelebihan kepada PN untuk terus meraih sokongan.
“Di Pahang ni rakyat masih lagi muak dan benci Pakatan Umno, BN dengan DAP. Akan dilihat Umno lebih kepada bersandiwara dan berdrama sebenarnya,” katanya.
Tambahnya lagi, terdapat perbezaan pendirian Umno mengenai hubungan dengan DAP di beberapa negeri, yang menurutnya menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
“Di Johor, putus hubungan dengan DAP, tak nak bergabung dengan DAP. Tapi di Pahang, dan di Perak tuan-tuan tengok Umno ‘menikus’. Tak berani keluar kenyataan tentang hubungan dengan DAP di Pahang, mahupun di Perak.
“Jadi kita PAS PN insya-Allah kita yakin untuk kita kekal momentum kita di Pahang dan insya-Allah Allah Taala beri kita kemenangan insya-Allah di Pahang pula nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2026











