Tiada saman parkir selepas 6 petang di Kuala Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penguatkuasaan saman parkir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hanya dilaksanakan sehingga jam 6 petang, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

- Advertisement -

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zamri Mat Zain berkata, selepas waktu berkenaan, tiada lagi saman parkir akan dikeluarkan kepada pengguna.

“Bermula 1 Jun, pemantauan dan penguatkuasaan saman parkir hanya dilaksanakan sehingga jam 6 petang sahaja.

“Bagaimanapun, pengecualian tidak diberikan kepada kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur sehingga menghalang lalu lintas atau menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain kerana ia tetap merupakan satu kesalahan serius,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran sistem E-Kutip di Menara MBKT, semalam.

Menurutnya, MBKT kini dalam proses melantik kontraktor baharu bagi menguruskan sistem parkir sedia ada yang dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Sepanjang tempoh peralihan itu, katanya, urusan kutipan bayaran parkir akan terus dilaksanakan secara manual bagi memastikan kelancaran operasi harian.

“Kita akan menyediakan pondok-pondok jualan tiket parkir menggunakan kaedah lama dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini.

“Selepas itu, kita akan melaksanakan sistem parkir digital sepenuhnya yang lebih mudah dan mesra pengguna kerana pembayaran boleh dibuat secara dalam talian,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2026

- Advertisement -