MBKT pasang CCTV di 17 lokasi, tingkat pemantauan keselamatan bandar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkukuh aspek keselamatan dan pengurusan trafik bandar menerusi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar serta lampu isyarat pintar di 17 lokasi strategik sekitar bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan di kawasan tumpuan orang ramai bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh dan berkesan.

- Advertisement -

Menurutnya, antara lokasi terlibat ialah Teluk Ketapang, Pantai Batu Buruk dan Pasar Payang yang mencatatkan kepadatan pengunjung yang tinggi sepanjang tahun.

“Melalui sistem ini, segala aktiviti dan keadaan di lokasi terlibat dapat dipantau secara langsung menerusi pusat kawalan yang beroperasi di pejabat MBKT.

“Pemilihan lokasi pemasangan CCTV dibuat berdasarkan keperluan pemantauan di kawasan yang mempunyai kepadatan pengunjung dan berpotensi berlaku insiden tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bilik Kawalan CCTV dan melancarkan sistem E-Kutip di Menara MBKT, semalam.

Wan Sukairi berkata, sistem itu turut melibatkan enam persimpangan utama dari Pasar Payang hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu yang dikenal pasti sebagai laluan utama kesesakan trafik.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, laluan sepanjang kira-kira enam kilometer itu sering mengalami kesesakan terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan musim perayaan.

“Sistem ini juga membolehkan pusat kawalan mengurus dan melaras tempoh lampu isyarat secara masa nyata mengikut keadaan trafik semasa bagi melancarkan pergerakan kenderaan.

“Selain itu, sistem berkenaan juga berupaya mengenal pasti dan merekod nombor pendaftaran kenderaan serta jenis kenderaan yang melalui laluan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif berasaskan teknologi pintar itu diyakini dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan MBKT di samping memperkukuh aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Insya-Allah, penggunaan teknologi pintar ini akan memperkukuh pengurusan bandar raya, sekali gus memastikan tahap keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan pelancong yang berkunjung ke Terengganu terus terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2026

- Advertisement -