Adakah ladang babi di Selangor sekadar ternakan?

Atau ada agenda lain di sebaliknya?

- Advertisement -

PERNAHKAH kita terfikir, mengapa ladang babi? Mengapa sekarang? Dan mengapa cadangan ini perlu dibawa terus kepada Sultan Selangor melalui pendekatan yang begitu luar biasa, bukan melalui saluran perancangan kerajaan tempatan yang biasa?

Lebih serius, cadangan ini turut disampaikan dengan bujukan daripada pemimpin tertinggi negara sendiri. Perdana Menteri Malaysia turun menghadap Sultan Selangor untuk meyakinkan Baginda berhubung cadangan ini, maka isu ini tidak lagi boleh dilihat sebagai isu penternakan semata-mata.

Rakyat berhak bertanya, apakah kepentingan sebenar di sebalik cadangan ini, sehingga ia memerlukan pengaruh politik setinggi itu untuk dibawa?

- Advertisement -

Mungkin ada yang berkata ini hanyalah isu ekonomi, isu penternakan, isu bekalan makanan.

Tetapi apakah yang akan berlaku kepada nilai hartanah penduduk di kawasan berdekatan apabila ladang babi berdiri di sana? Apakah yang akan berlaku kepada pemilik tanah yang tidak tahan dengan bau, pencemaran, dan tekanan psikologi yang datang bersamanya. Adakah mereka akan bertahan, atau terpaksa menjual?

Dan apabila tanah itu sudah berpindah tangan dengan harga yang jauh lebih murah daripada nilai pasaran, siapakah yang akan membelinya? Adakah mungkin bahawa ladang babi ini bukan matlamat sebenar, tetapi hanya alat?

Alat untuk menekan nilai tanah, memaksa penjualan dan membuka jalan kepada projek pembangunan berskala besar yang jauh lebih menguntungkan pihak tertentu?

Ini bukan tuduhan. Ini adalah soalan yang setiap rakyat berhak tanya.

Tetapi mari kita teruskan dengan beberapa soalan yang lebih spesifik yang wajar dijawab oleh pihak yang bertanggungjawab:
a. Mengapa cadangan ini dibawa terus kepada Sultan Selangor secara peribadi dan bukan melalui saluran perancangan kerajaan tempatan yang biasa? Apakah yang hendak dipintas?

b. Siapakah pelabur atau pihak di sebalik cadangan ini? Adakah mereka mempunyai kepentingan dalam tanah yang terletak berhampiran kawasan yang dicadangkan? Adakah kajian semula perlu dilakukan terhadap pemilikan tanah di kawasan berkenaan?

c. Jika ladang babi ini suatu hari nanti ditutup selepas tanah di sekelilingnya berjaya diperoleh dengan harga murah, apakah tanah tersebut bakal ditukar guna untuk projek komersial berskala besar yang menguntungkan pihak tertentu sahaja?

d. Adakah terdapat kes-kes terdahulu di Malaysia atau di luar negara di mana strategi serupa ini pernah digunakan untuk menekan nilai hartanah penduduk setempat bagi memudahkan pengambilalihan tanah secara tidak langsung?

e. Mengapa tanah-tanah di Selangor?

Soalan-soalan ini bukan provokasi. Ia adalah soalan yang berhak ditanya oleh setiap rakyat yang prihatin terhadap tadbir urus tanah dan harta dalam negara ini.

Sebab itulah pendirian Sultan Selangor dalam menolak cadangan ini perlu dilihat sebagai isyarat yang serius. Baginda melihat apa yang ramai tidak nampak, atau tidak mahu nampak.

Siasatan menyeluruh perlu dibuat… Siapa yang mencadangkan, siapa yang mendanai dan siapa yang akan mendapat manfaat apabila tanah di kawasan berkenaan mula bertukar tangan.

Jawapan kepada soalan-soalan ini mungkin akan mendedahkan permainan paling kotor yang pernah dilakukan ke atas penduduk dan komuniti di tempat lain. Kita tidak boleh tunggu sehingga semuanya sudah terlambat untuk bertanya.

HAWARI HANAFI – HARAKAHDAILY 10/5/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -