
SEOUL: Kedutaan Iran menafikan bahawa angkatan tenteranya terlibat dalam letupan yang melanda sebuah kapal Korea Selatan di Selat Hormuz minggu ini.
Letupan dan kebakaran itu berlaku di atas kapal kargo HMM Namu berbendera Panama, yang membawa 24 anak kapal, pada Isnin lalu.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kemudian mendakwa bahawa Iran telah ‘melakukan beberapa tembakan’ ke arah kapal itu dan menggesa Korea Selatan untuk menyertai operasi AS yang bertujuan untuk memulihkan perkapalan normal melalui laluan air yang hampir ditutup itu.
Kedutaan Tehran di sini dalam kenyataannya berkata dalam satu kenyataan pada hari ini, Khamis bahawa ia ‘dengan tegas menolak dan menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan mengenai penglibatan angkatan tentera Republik Islam Iran dalam insiden yang melibatkan kerosakan pada kapal Korea Selartan di Selat Hormuz’.
“Sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari 2026, Tehran ‘telah berulang kali menekankan bahawa Selat Hormuz merupakan bahagian penting dalam geografi pertahanannya’.
“Oleh itu, laluan selamat melalui Selat Hormuz memerlukan pematuhan penuh dengan peraturan yang berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, dalam keadaan sedemikian, sebarang pengabaian terhadap keperluan yang diisytiharkan dan realiti operasi … boleh menyebabkan insiden yang tidak diingini.
“Tanggungjawab atas akibat sedemikian terletak pada pihak-pihak yang meneruskan transit atau aktiviti di kawasan itu tanpa mengambil kira pertimbangan ini,” tegas kenyataan berkenaan.
Sementara Korea Selatan berkata selepas kenyataan Trump bahawa ia akan ‘mengkaji semula pendiriannya’ untuk menyertai operasi AS bagi mengiringi kapal di selat itu.
Namun Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Wi Sung-lac berkata pada Rabu bahawa penggantungan program yang dinamakan ‘Project Freedom’ telah menjadikan semakan itu tidak perlu. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











