‘Kawan-kawan Umno tak perlu terlalu marah’

PH, BN ‘berani sorak ‘Tolak Umno’ sahaja, di Putrajaya masih dalam Kabinet’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kawan-kawan Umno tidak perlu terlalu marah dengan ucapan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam program di Negeri Sembilan semalam, meskipun nada disifatkan keras, kerana ia hanya bertujuan memastikan undi penyokong PH tidak lari.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata demikan kerana PH dan Barisan Nasional (BN) walaupun bertanding secara solo pada pilihan raya, masih mengharapkan berlaku ‘cross vote’ antara penyokong kedua-dua pihak.

- Advertisement -

“Pada akhirnya, PH dan BN walaupun bergerak solo untuk hadapi pilihan raya, jika tidak bertembung sesama sendiri, masing-masing mengharapkan berlakunya ‘cross vote’ iaitu penyokong BN boleh undi PH dan penyokong PH boleh undi BN.

“Sebagaimana kata salah seorang pemimpin kanan PH dalam ceramah semalam, halatuju PH ialah pastikan DS (Dato’ Seri) Anwar Ibrahim kekal sebagai PM (Perdana Menteri) selepas pilihan raya nanti,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Terbaharu, tular satu video yang menunjukkan laungan ‘Tolak Umno’ bergema dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Seremban malam tadi selepas beberapa pemimpin gabungan itu selesai berucap walaupun terdapat gesaan supaya penyokong bertenang.

Sebelum itu, krisis politik di Negeri Sembilan tercetus apabila pada 27 April 2026, kesemua 14 ADUN Umno-BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Tindakan itu mencetuskan reaksi segera daripada PH yang menegaskan ia tidak menghormati mandat rakyat serta menolak sebarang usaha pembentukan kerajaan melalui ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’.

Dalam tempoh berikutnya, ADUN Umno-BN mempertahankan tindakan mereka dengan alasan berkait isu institusi adat dan kegagalan pengurusan pentadbiran negeri.

ADUN Umno-BN menegaskan ia bukan langkah perebutan kuasa, sebaliknya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar.

PH, termasuk DAP dan PAN, mengecam tindakan tersebut sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat serta cubaan menggugat kestabilan kerajaan negeri.

Dalam masa sama, mereka menyatakan sokongan berterusan kepada Menteri Besar dan menolak sebarang perubahan kerajaan.

Walau bagaimanapun, kepimpinan tertinggi Umno di peringkat pusat, termasuk Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengambil pendekatan berbeza.

Mereka mengambil pendekatan menegaskan komitmen terhadap kerajaan campuran serta menekankan penyelesaian melalui rundingan tanpa menggugat kestabilan kerajaan negeri.

Pada 5 Mei 2026, Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan ‘Perpaduan’ Umno-PH mencapai persetujuan untuk mengekalkan kerjasama kerajaan negeri serta menetapkan bahawa sebarang isu sensitif perlu dirujuk kepada mekanisme perundingan bersama bagi mengelakkan ketegangan berpanjangan.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sorakan ‘Tolak Umno’ yang bergema dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) di Seremban semalam hanya dianggap sebagai retorik politik semata-mata.

Beliau berkata, walaupun terdapat laungan tersebut, realitinya Umno masih berada dalam Kabinet di peringkat Persekutuan, selain PH masih menyokong kerjasama sedia ada.

“Realitinya semua hanya sorak. Berani sorak sahaja. Di Putrajaya Umno masih dalam Kabinet. PH masih sokong.

“PMX (Perdana Menteri ke-10) masih ada TPM I (Timbalan Perdana Menteri 1) dari Umno. Masih ada Kabinet dari Umno,” hujahnya.

Beliau turut menyatakan Umno masih wujud dalam pentadbiran di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Selangor dan Pahang walaupun dikatakan kehilangan kepercayaan di peringkat tertentu.

“Maka, cukuplah retorik kedua belah pihak PH dan Umno ini. Masing-masing kata tolak sesama sendiri. Ini akan diulang-ulang.

“Akhirnya lepas pilihan raya gabung balik. Demi individu. ‘Once bitten twice shy’. Jangan biar dipatuk ular lagi. Rakyat mesti bijak. Dengar boleh percaya jangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026

- Advertisement -