
KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah menyokong penuh perbahasan yang disampaikan oleh Datuk Dr. Aliakbar Gulasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.
Timbalan ketuanya, Jumaidin Lakalla berkata, ucapan ADUN Karambunai itu merupakan manifestasi suara rakyat marhaen yang sekian lama mendambakan keadilan sosial serta kedaulatan hak negeri yang sering terabai.
Menurutnya, isu asas seperti bekalan air, jalan raya, elektrik, pendidikan dan kesihatan perlu diberi keutamaan kerana ia merupakan prasyarat kepada kehidupan yang bermaruah.
“Kerajaan tidak boleh lagi memberi alasan teknikal dalam soal ini. Kemudahan asas adalah hak rakyat, bukan ihsan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, khususnya bagi mengekang penghijrahan golongan muda ke bandar akibat kekurangan peluang di kawasan desa.
“Pembangunan tidak boleh tertumpu di Kota Kinabalu semata-mata, sebaliknya perlu diagihkan secara adil agar kawasan pedalaman tidak terus dipinggirkan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyuarakan bahawa tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah bukanlah modal politik, sebaliknya merupakan amanah yang termaktub dalam Perlembagaan dan perlu ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ia adalah instrumen undang-undang bagi membiayai pembangunan rakyat dan tidak wajar dipolitikkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyokong gesaan agar Sabah memperkukuh kedaulatan makanan dan kesiapsiagaan ekonomi dengan mengoptimumkan sumber pertanian tempatan sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Selain itu, beliau menekankan bahawa isu perumahan juga perlu ditangani secara serius melalui kawal selia harga tanah dan margin keuntungan pemaju, bagi memastikan rumah kekal sebagai keperluan asas yang mampu dimiliki rakyat, khususnya golongan muda dan B40.
Menyentuh isu setinggan, beliau berkata pendekatan kemanusiaan yang dibangkitkan Dr Aliakbar perlu diutamakan melalui penyediaan rumah transit dan pelan penempatan semula yang lebih realistik.
“Tindakan meroboh tanpa solusi hanya akan memburukkan lagi kitaran kemiskinan,” jelasnya.
Justeru, katanya Pemuda PAS negeri akan terus memainkan peranan sebagai pemantau agar setiap agenda pembangunan berteraskan rakyat yang dibawa oleh Dr Aliakbar dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak eksekutif.
“Komitmen ini penting demi memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah terus terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/5/2026











