
KUALA LUMPUR: Keputusan Umno dalam menangani kemelut di Negeri Sembilan dilihat berpotensi memberi kesan terhadap usaha parti itu untuk kembali pulih.
Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata demikian susulan kenyataan terbaharu Umno yang tetap akan terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.
“Tak mengapalah, moga rakyat khasnya umat Melayu berpuas hati dengan keputusan ini, bimbangnya ia makin menjejaskan Umno untuk kembali pulih.
“Saya pasti ramai yang keliru apatah lagi kecewa dengan keputusan ini, kerana kelihatan Umno sokong sikap ADUN-ADUNnya (14 ADUN termasuk ADUN Rantau yang juga Timbalan Presiden yang hilang kepercayaan pada MB Negeri Sembilan).
“Tapi dalam waktu yang sama berpendirian kerajaan ‘perpaduan’ negeri itu terus disokong,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata, kemelut di Negeri Sembilan dilihat seakan terbantut selepas Setiausaha Agung Umno memaklumkan pendirian tersebut.
Dalam masa sama, Roslan mengingatkan agar Umno tidak memandang ringan reaksi rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) yang semakin menunjukkan kemarahan dan kebencian terhadap situasi berkenaan.
“Ramai pimpinan akar umbi PH mendesak diambil tindakan terhadap Umno kerana menikam MB PH dari belakang.
“Semalam seorang pemimpin PKR Selangor desak exco tunggal Umno di Selangor dipecat,” ujarnya.
Beliau turut merujuk kepada desakan sayap Pemuda DAP (DAPSY) yang dilaporkan mahu Perdana Menteri memecat Menteri Luar, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (Tok Mat) kerana menyokong usaha menjatuhkan Menteri Besar kerajaan PH-BN.
Menurutnya, seorang pemimpin eksekutif DAPSY turut menyifatkan bahawa pengkhianat atau musuh dalam selimut tidak wajar diberi ruang dalam pentadbiran negara.
“Bayangkan Pemuda DAP berani secara terbuka desak Timbalan Presiden Umno dipecat,
“Pasca kemelut di Negeri Sembilan pasti mencetuskan gelora hubungan antara PH-BN. Umno mahu bagaimana, terpulanglah,” katanya.
Terdahulu, krisis politik berkenaan tercetus selepas semua 14 ADUN Umno dan Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, yang dikaitkan dengan pengendalian isu membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Perkembangan itu menyaksikan kerajaan sedia ada kini hanya berbaki 17 kerusi, kurang daripada 19 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti mudah. – HARAKAHDAILY 1/5/2026











