Sultan Selangor titah tangguh SUKMA

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri ini ditangguhkan buat sementara waktu, susulan peningkatan kos penganjuran, keadaan ekonomi semasa serta ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Baginda bertitah, penangguhan itu juga wajar dipertimbangkan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya bagi memastikan penganjuran sukan berprestij tersebut dapat dilaksanakan dalam keadaan lebih tersusun dan kondusif.

- Advertisement -

“Beta berpandangan lebih wajar penganjuran tersebut ditangguhkan sehingga krisis di ‘Middle East’ selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Baginda turut menitahkan penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura untuk tahun ini dibatalkan.

Bagaimanapun, Baginda berkenan agar satu kejohanan baharu diperkenalkan iaitu Piala Jubli Perak, khusus untuk pelajar bawah 15 tahun melibatkan penyertaan pasukan dari seluruh daerah di Selangor.

Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan agar inisiatif baharu itu dapat memperkukuh pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi, di samping mencungkil bakat muda serta menyemai semangat kesukanan dalam kalangan generasi pelapis negeri ini.

Bagaimanapun, Baginda berkenan agar satu kejohanan bola sepak baharu iaitu Piala Jubli Perak dianjurkan khusus untuk pelajar sekolah berumur bawah 15 tahun melibatkan penyertaan antara daerah di seluruh negeri Selangor.

Menurut Baginda, penganjuran kejohanan tersebut bertujuan memupuk bakat muda serta menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi, selain memperkukuh pembangunan sukan bola sepak yang merupakan sukan paling popular dalam kalangan rakyat negeri ini.

Terdahulu, Selangor sebelum ini pernah beberapa kali menjadi tuan rumah penganjuran SUKMA, yang bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sukan, malah turut melibatkan kos penganjuran yang besar serta keperluan infrastruktur sukan yang lengkap dan moden.

Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengesahkan sukan dwitahunan itu diteruskan mengikut jadual dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Keputusan dibuat selepas mesyuarat yang turut dihadiri EXCO Sukan Selangor Najwan Halimi menimbang semua aspek secara teliti dan menyeluruh termasuk persiapan penganjur dan barisan atlet negeri. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -