
KOTA BHARU: Kejayaan memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia membuka ruang kepada usahawan kecil untuk memperluaskan pasaran produk mereka, sekali gus meningkatkan daya saing dalam industri makanan.
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan perniagaan khususnya dalam kalangan pengusaha industri kotej.
Menurutnya, syarikat SR Rezeki Venture berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kotej pertama di Kelantan yang menerima sijil halal di bawah kategori kotej bermula 1 April 2026.
Beliau hadir menyerahkan sendiri Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada pemilik syarikat, Noor Syahirah Roslan di Kampung Paya Bemban, di sini pagi tadi.
Katanya, syarikat tersebut mengusahakan produk Lasagna Ayam Alfredo dan Lasagna Daging Bolognese di bawah skim permohonan produk makanan halal.
“Produk ini turut dibekalkan kepada beberapa premis kopi tempatan seperti Sogno Coffee, Alkhatiri Coffee dan Kayuan Coffee, selain dibuka untuk tempahan masyarakat setempat,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) atas komitmen dalam memperkukuh sistem pensijilan halal di negeri ini.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan kecil dan sederhana untuk mendapatkan sijil halal serta memperluaskan pasaran produk masing-masing,” katanya.
Tambahnya, perkembangan itu mampu memperkukuh ekosistem industri halal negeri serta memberi impak positif kepada ekonomi ummah secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 15/4/2026











