Tiga isu kritikal gugat keyakinan terhadap kerajaan

Kerajaan gagal tangani spekulasi dan wacana awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan tiga isu utama iaitu mafia korporat melibatkan skandal RM9.5 juta, pengurusan petroleum negara dan keselamatan sistem kad pengenalan serta data privasi dilihat bakal menggugat kerajaan.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan bahawa ketiga-tiga isu ini tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya mempunyai kaitan rapat dari sudut tadbir urus, integriti dan ketelusan.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia melibatkan keyakinan rakyat yang kini semakin celik dan peka terhadap isu-isu melibatkan kepentingan negara, justeru sebarang kelemahan atau ketidakjelasan akan segera menjadi perhatian umum.

“Rakyat mahu jawapan, bukan sekadar penjelasan umum. Mereka mahu tindakan yang jelas dan tegas,” katanya mengulas isu-isu tersebut dalam Podcast Jalan Pahang, di sini baru-baru ini

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa isu mafia korporat memberi gambaran dan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya pengaruh berkepentingan dalam struktur ekonomi negara.

Manakala isu pengurusan petroleum negara ketika ini pula kupas Isham, sangat menyentuh secara langsung soal kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi di semua peringkat.

Dalam masa sama, isu kad pengenalan dan data privasi yang disinggungnya pula, adalah melibatkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara yang sepatutnya tidak boleh dikompromikan sama sekali.

“Apabila ketiga-tiga isu ini muncul serentak dalam wacana awam, ia secara tidak langsung mencerminkan kebimbangan rakyat terhadap keupayaan sistem sedia ada dalam menangani cabaran besar negara,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan bahawa kegagalan memberikan penjelasan yang jelas dan meyakinkan hanya akan membuka ruang kepada spekulasi serta menghakis lagi kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Tambahnya, dalam era maklumat tanpa sempadan, persepsi awam memainkan peranan penting dalam menentukan kestabilan politik dan ekonomi sesebuah negara, di mana ketelusan dan komunikasi yang berkesan perlu menjadi keutamaan dalam setiap tindakan kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan kerajaan menangani isu-isu ini secara berkesan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak, khususnya kerajaan dan agensi berkaitan, tampil memberikan penjelasan yang telus serta mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat.

“Kepercayaan rakyat adalah asas kepada kestabilan negara. Jika ia terjejas, kesannya akan dirasai dalam semua aspek,” peringatnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/4/2026

- Advertisement -