Menteri selamat, rakyat tersedak harga minyak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jika terdapat dalam kalangan menteri yang bernada sinis terhadap penderitaan rakyat akibat kenaikan harga minyak dan potensi inflasi, ia berpunca daripada kedudukan mereka yang terlindung daripada kesan tersebut.

Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, imbuhan yang diterima golongan itu adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung peningkatan kos sara hidup, termasuk kenaikan harga bahan bakar dan inflasi.

- Advertisement -

“Mereka menikmati elaun berkaitan pengangkutan seperti minyak, tol, pinjaman kenderaan dengan faedah rendah dan bebas cukai jalan ke atas sebuah kenderaan kegunaan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.

Beliau turut merujuk kepada jawapan daripada Kepintaran Buatan (AI) yang menyatakan bahawa menteri Kabinet Malaysia secara umumnya berada dalam kategori T20 berdasarkan gaji dan elaun diterima.

Mengikut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Mac 2025, gaji pokok Perdana Menteri adalah kira-kira RM22,826.65 sebulan, namun jumlah pendapatan keseluruhan termasuk elaun boleh mencecah RM40,000.

“Kesimpulannya, dalam bahasa Melayu lama, tidaklah susah akan sahaya-sahaya itu hidupnya walaupun harga minyak dan inflasi naik,” ulas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata dalam ‘zaman edan yang separuh gila ini’, masyarakat yang masih rasional boleh memanfaatkan maklumat yang mudah diakses.

Beliau turut mengulas laporan lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Pulau Batu Puteh dengan menaiki helikopter VIP Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang lazimnya menggunakan pesawat Leonardo AW139.

Menurutnya, pulau berkenaan, yang dikenali sebagai Pedra Branca dalam undang-undang antarabangsa, adalah milik Singapura.

Lawatan itu jelasnya mengundang pelbagai reaksi apabila ada pihak membandingkannya dengan beban kenaikan kos bahan bakar yang ditanggung rakyat.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa penggunaan jet peribadi dan helikopter VIP selenggaraan TUDM merupakan hak istimewa Perdana Menteri.

Namun, isu yang sering dibangkitkan ialah dakwaan campur aduk penggunaan kemudahan kerajaan bagi tujuan rasmi dan politik parti oleh pemimpin tertinggi negara.

Menurut maklumat dalam talian, kos pengendalian helikopter AW139 dianggarkan antara USD3,500 hingga USD5,285 sejam.

“Tapi nak buat macam mana? Itulah ‘kontrak’ kita dengan mereka. Masa kempen pilihan raya, mereka janji itu dan ini. Kita percaya dan undi mereka. Kita bayar cukai dan duit cukai itulah yang bayar gaji dan segala perbelanjaan rasmi mereka,” terang beliau.

Abdul Kadir turut menyentuh langkah Perdana Menteri yang tidak mengambil gaji bagi jawatan disandang, selain pemotongan gaji 20 peratus oleh menteri yang menjimatkan kira-kira RM1.2 juta setahun.

“Walaupun tidak mengambil gaji dan berlaku pemotongan, baki yang diterima masih banyak,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said membawa Anwar Ibrahim meninjau Pulau Batu Puteh dari udara.

Beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai keluhan rakyat Pengerang terhadap keputusan menarik balik semakan kedaulatan pulau itu yang kini milik Singapura.

Azalina berkata, Malaysia terlepas peluang selepas menarik balik permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Mei 2018. – HARAKAHDAILY 9/4/2026

- Advertisement -