Kes Fahmi Fadzil, Ustaz Fauzan selesai secara baik

Melalui penghakiman persetujuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prosiding saman fitnah Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil terhadap Ustaz Mohd Fauzan Madzlan berakhir secara baik apabila pihak-pihak merekodkan penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi, hari ini.

- Advertisement -

Susulan penyelesaian tersebut, Fahmi telah menarik balik saman yang difailkan terhadap Ustaz Fauzan yang dicapai tanpa sebarang permohonan maaf oleh Fauzan terhadap Fahmi, serta tiada sebarang perintah bayaran kos atau pampasan direkodkan.

Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa ucapan Fahmi di sebuah masjid di Rawang, Selangor di dalam kes ini bukanlah ceramah politik dan adalah selaras dengan hantaran yang menyebabkan tindakan saman berkenaan di mana hanya menyatakan ceramah sahaja.

Dengan perkembangan ini, pertikaian antara kedua-dua pihak berhubung tindakan saman berkenaan disifatkan telah diselesaikan secara baik tanpa perlu diteruskan dengan perbicaraan penuh.

Untuk rekod, saman itu merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang yang difailkan oleh Fahmi pada tahun 2023 terhadap Fauzan berhubung hantaran di media sosial bahawa beliau menyampaikan ceramah di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Dalam tindakan saman tersebut, plaintif antaranya memohon ganti rugi serta perintah injunksi berhubung hantaran berkenaan, namun penyelesaian hari ini menamatkan pertikaian itu secara persetujuan bersama, selaras pendirian mereka untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik.

Ustaz Fauzan diwakili pasukan peguam yang terdiri daripada Mohd Zamri Ibrahim, Noorhisham Abdullah, Ahmad Amzar Ahmad Azlan, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir dan Nur Naqibah Sakinah Abdul Razak. – HARAKAHDAILY 6/4/2026

- Advertisement -