
KUALA LUMPUR: Skandal kewangan bernilai RM9.5 juta yang dikaitkan dengan elemen mafia korporat mencetuskan tanda tanya besar mengenai ketelusan dan integriti dalam pengurusan ekonomi negara.
Bekas Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menyifatkan isu berkenaan sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencerminkan kewujudan jaringan berkepentingan dalam sektor korporat.
Menurut beliau, kewujudan mafia korporat bukan lagi sekadar teori atau persepsi, sebaliknya berpotensi menjadi realiti yang boleh mempengaruhi struktur ekonomi negara secara senyap tetapi mendalam.
Katanya, jaringan ini lazimnya beroperasi melalui penguasaan kontrak, pengaruh dalam keputusan strategik serta hubungan rapat dengan pihak berkepentingan.
Modus operandi kumpulan seperti ini sering kali terselindung di sebalik struktur korporat yang kelihatan sah, namun hakikatnya dikawal oleh kelompok tertentu dan mempunyai kepentingan tersendiri.
Keadaan ini katanya, boleh menyebabkan persaingan tidak sihat serta menutup ruang kepada pemain industri lain yang lebih telus dan berintegriti.
“Apabila angka seperti RM9.5 juta timbul, ia bukan hanya soal jumlah, tetapi persoalan lebih besar ialah ke mana aliran itu pergi dan siapa yang mendapat manfaat,” ujarnya dalam Podcast Jalan Pahang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kes seperti ini hanyalah sebahagian kecil daripada isu yang lebih besar, namun mungkin belum didedahkan sepenuhnya kepada umum.
Katanya, jika tidak ditangani secara serius, ia boleh menjadi ‘precedent’ berbahaya yang menggalakkan amalan salah guna kuasa dalam sektor korporat.
Tambah beliau, kegagalan menangani isu ini secara telus boleh menghakis keyakinan pelabur serta rakyat terhadap integriti sistem ekonomi negara.
Malah, ia juga berisiko menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa sekiranya dilihat gagal mengawal unsur penyelewengan dalam sektor strategik.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa rakyat kini semakin peka terhadap isu-isu melibatkan integriti dan tadbir urus.
Oleh itu, sebarang usaha untuk menutup atau melengah-lengahkan siasatan hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa siasatan menyeluruh dan bebas perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada pihak kebal daripada tindakan undang-undang.
Selain itu, mekanisme pemantauan yang lebih ketat juga perlu diwujudkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Ini bukan sekadar isu individu atau syarikat tertentu, tetapi melibatkan sistem. Jika sistem itu lemah, maka ruang untuk mafia korporat berkembang akan sentiasa ada,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/4/2026











