
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff menyifatkan tahap pemikiran Kerajaan Madani membimbangkan dan boleh menjejaskan negara.
Beliau berkata, ketika harga minyak meningkat dan kos sara hidup naik sehingga rakyat terhimpit, cadangan kerajaan seperti ‘naik basikal’ bukan satu dasar atau penyelesaian yang realistik.
Katanya, cadangan itu menunjukkan kegagalan memahami keadaan sebenar rakyat yang perlu bergerak antara 20 hingga 30 kilometer sehari dalam cuaca panas, termasuk mengambil anak dari sekolah.
Selain itu, beliau berkata, terdapat rakyat yang menjalankan perniagaan kecil dan menggunakan kenderaan untuk mengangkut barangan, sekali gus tidak praktikal jika disarankan menggunakan basikal.
“Rakyat tak perlukan ‘idea dungu’ macam ini. Rakyat perlukan keputusan dasar yang serius,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Menurutnya, cadangan seperti menggunakan basikal, kenderaan elektrik atau pengangkutan awam bukan perkara luar biasa kerana rakyat sendiri mampu memikirkannya.
Beliau mempersoalkan pelan sebenar kerajaan dalam menghadapi kenaikan harga minyak global dan tidak wajar sekadar mengumumkan kenaikan tanpa penyelesaian menyeluruh.
Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga serta langkah melindungi rakyat daripada kenaikan kos sara hidup.
“Atau kerajaan memang dah tak ada idea? Sebab itu PN (Perikatan Nasional) desak panggil Sidang Parlimen Khas segera. Biar Ahli Parlimen diberi taklimat kedudukan ekonomi dan kewangan negara.
“Boleh pembangkang jadi ‘check and balance’ kepada segala tindakan kerajaan. Tubuhkan jawatankuasa non-partisan seperti cadangan Pengerusi PN.
“Boleh berfikir cari solusi terbaik untuk negara. Harap Menteri Kerajaan Madani, memang tak boleh haraplah.
“Paling kurang kalau dah tak ada idea sangat, tak payah beri cadangan yang langsung tak selesaikan masalah. Lebih baik diam dari nampak tak cerdik,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, memberikan cadangan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif ketika harga bahan bakar meningkat.
Beliau menjelaskan cadangan itu hanya untuk perjalanan jarak dekat dalam kawasan bandar dan bukan melibatkan perjalanan jauh antara bandar.
Katanya, berbasikal adalah kaedah sihat dan merupakan antara tujuh cadangan yang dikemukakan bagi menangani kenaikan harga minyak. -HARAKAHDAILY 1/4/2026











