Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah sejarah dan peranannya

- Advertisement -

IJTIMAK Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu yang bakal diadakan pada 2-4 April ini bagi kali ke-5 ini adalah suatu usaha besar dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap perpaduan umat Islam, bukan sahaja di sekitar alam Melayu ini, malah jauh lebih luas, sehingga ke dunia Islam secara amnya. Namun sayang, ijtimak ini tidak dikenali malah tidak mahu diakui akan kehebatan kepada perhimpunan ini.

Sewaktu pertama kali ia dianjurkan pada tahun 1988, di perkarangan Masjid Rusila, antara tokoh tersohor dunia Islam yang hadir ialah dari Afghanistan, Gulbudin Hekmatyar, Profesor Burhanuddin Rabbani yang mana kita tahu, mereka baharu sahaja menang peperangan menentang pasukan tentera ‘Beruang Merah’ iaitu Soviet Union. Sesibuk mereka menguruskan negara, masih sudi hadir ke ijtimak. Tentunya istimewa tarikan ijtimak ini.

- Advertisement -

Hadir sama sebagai tetamu dalam ijtimak itu ialah anak kepada as-syahid Hassan al-Banna, Saiful Islam bersama pemimpin Ikhwan Muslimin yang lain seperti Sheikh Mehdi Akif. Wakil Jamaat Islami dari Pakistan, Khalilul Hamidi, wakil pejuang Bangsamoro, Ustaz Mohamad Ali, dari Kashmir, Syeikh Rashid Turabi, Mahmood Mehdi dari Iraq, wakil Indonesia, Dr Mukhlis dan Drs Abdullah Yusof.

Secara keseluruhan, wakil-wakil ini memfokuskan ucapan mereka mengenai keadaan umat Islam di negara masing-masing dan menyentuh juga perihal isu antarabangsa yang melanda umat Islam. Ketika itu, gerakan Islam di seluruh dunia telah ditekan, bagaikan dirancang hal keadaannya.

Gerakan Islam ditekan dan berpecah

Di Algeria, Barisan Penyelamat Islam (FIS), Ikhwanul Muslimin di Mesir dan beberapa negara Arab lain, umat Islam di Selatan Filipina dan Selatan Thai, pejuang di Palestin, Kashmir dan termasuk PAS di Malaysia yang dikenakan berbagai peraturan, hukuman malah sehingga pembunuhan oleh pemerintah terhadap pejuang Islam.

Isu utama yang dibangkitkan ialah perpaduan Islam. Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menjadi Naib Presiden PAS ketika itu turut berucap dengan menjelaskan bahawa perpecahan di kalangan umat Islam adalah kerana penjajah yang memasukkan isu perkauman dan sekular yang kemudiannya menjadi cabang kepada beberapa ideologi lain yang menyesatkan umat Islam. Ia dilakukan semenjak ratusan tahun yang lampau, sehingga berjaya menjatuhkan khalifah Islam.

Ijtimak ini diakui oleh wakil Jamaat Islami Pakistan, Maulana Khalilul Hamidi bahawa ia merangsang kepada perpaduan dan persaudaraan Islam di seluruh dunia. Ini adalah satu ucapan penghargaan kepada usaha PAS untuk meneguhkan perpaduan sesama umat Islam di seluruh dunia. Usaha ini tidak mudah untuk dilakukan oleh mana-mana gerakan Islam, jika mereka tidak dihormati.

Jelas PAS begitu dihormati sehingga sambutan yang diberikan dari dalam dan luar negara dilaporkan sehingga 100,000 orang. Harus diingat, ketika itu, PAS bukan sebuah kerajaan sama ada negeri mahupun pusat. Akan tetapi PAS mempunyai kekuatan bagi menarik tokoh-tokoh besar dunia untuk hadir kerana kepercayaan dunia Islam.

PAS konsisten menyeru perpaduan

Terbukti ia bukan retorik tetapi usaha penyatuan ummah ini terus dilakukan oleh Presiden PAS, sehingga kini. Antaranya ialah ‘taqrib mazahib’ iaitu usaha mendekatkan mazhab-mazhab supaya saling bersatu, bantu membantu seperti Sunni dan Syiah.

Beliau juga direkodkan pernah bertemu dengan ramai lagi pemimpin dunia seperti Saddam Hussin, Nejmudin Erbakan, Recip Teyyip Erdogan, Ayatollah Ali Khameini, pemimpin Gerakan Acheh Merdeka, pemimpin Yaman dan banyak lagi kerana beliau ditugaskan untuk menyelesaikan konflik dunia Islam.

Ia bukan tugas yang enteng. Tentu sahaja tidak diterima seseorang wakil itu jika tidak ada keyakinan dalam diri mereka yang berkonflik yang wakil itu boleh membantu menyelesaikannya.

Pernah juga beliau menyertai rombongan parti-parti Islam menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali bagi menyelesaikan konflik di Teluk. Menyampaikan pidato berkenaan krisis di Bosnia Herzegovina dan tidak sedikit jumlah jemputan yang beliau terima bagi mengisi ruang bicara di televisyen negara-negara luar serta memberikan ucapan dalam perhimpunan parti-parti Islam di merata dunia.

Pastinya beliau bukan hadir secara individu, tetapi atas nama gerakan Islam, PAS yang sudah dikenali di dunia gerakan Islam. Dan beliau hadir atas tubuh batang beliau, tidak hanya menelefon pimpinan gerakan Islam.

Semua ini adalah untuk beliau menyatakan bahawa betapa pentingnya perpaduan di kalangan umat Islam. Hasil dari perpaduan ini, umat Islam tidak akan lagi ditindas, sumber negara tidak akan dirampas oleh musuh Islam. Dari perpaduan ini, Islam akan menguasai dunia. Dan apabila Islam menguasai dunia, semua manusia akan selamat di bawah undang-undang Islam. Beliau pernah dipuji ulamak dunia kerana berkemampuan menyatukan orang Arab.

BPMS langkah ke arah perpaduan

Maka sebagai Presiden PAS, beliau menggerakkan usaha menyatukan ummah ini. PAS terus membuka jalan diplomasi dalam politik tempatan apabila mempelopori idea Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang mana asasnya ialah bagi menguatkan Melayu Islam.

Perpaduan sudah jelas hampir dicapai, hanya sahaja apabila ada individu yang penuh dengan kes mahkamah, takut untuk bersama dengan PAS, kerana kepentingan diri, memusnahkan harapan umat. PAS istiqamah untuk bersatu demi agama dan bangsa.

Ijtimak ini kemudiannya dianjurkan lagi sehinggalah yang kali ke-5 iaitu pada 2-4 April 2026 ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus. Dari perkarangan Masjid Rusila yang agak daif, ia melangkah ke dewan yang dilengkapi dengan berbagai fasiliti.

Betapa ijtimak ini sangat penting, sehinggakan pada Ijtimak kali ke-3, 2015 dahulu, dalam satu jadual, ada cubaan merampas tetamu untuk dibawa ke program lain, bagi menggagalkan ijtimak ini.

Amatlah rugi jika anda berpeluang hadir, tetapi membiarkan sahaja program yang sarat dengan isu berkenaan perpaduan umat ini berlalu begitu sahaja. Ia akan memberikan kesedaran kepada kita bahawa perpaduan dalam Islam adalah tonggak kepada kemenangan Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
1 April 2026 – HARAKAHDAILY 1/4/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -