
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Menurut beliau, setiap keputusan yang diperoleh wajar disyukuri sebagai ketentuan Allah SWT, selain menghargai peranan guru dan ibu bapa yang menjadi tonggak utama kejayaan pelajar.
“Saya ucapkan tahniah kepada anak-anak atas pencapaian dalam peperiksaan SPM. Ucapkanlah syukur kepada Allah SWT atas segala keputusan yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Jangan dilupakan jasa guru yang mendidik serta ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan,” katanya lagi.
Tambahnya, para pelajar kini berada di ambang fasa baharu kehidupan selepas menamatkan alam persekolahan dan perlu bersedia menentukan hala tuju masing-masing.
“Apa jua bidang yang dipilih perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan kerana Allah SWT agar setiap usaha menjadi sebahagian daripada amal soleh.
“Lakukanlah setiap perkara dengan bersungguh-sungguh supaya kejayaan yang dicapai bukan sahaja di dunia, malah di akhirat,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan kejayaan di dunia dan akhirat selari dengan dasar Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Membangun Bersama Islam (MBI), yang kini diteruskan melalui Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Tambahnya, terdapat tiga prinsip utama yang menjadi teras iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) yang membawa maksud pengabdian kepada Allah SWT, amanah dalam tanggungjawab serta kesungguhan dan kecemerlangan dalam setiap pekerjaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru para pelajar diseru agar menanam nilai-nilai tersebut dalam diri serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Semoga setiap langkah dan usaha kita sentiasa diberkati serta membimbing kita menjadi hamba Allah yang bertakwa,” katanya lagi.
Terdahulu, keputusan SPM 2025 bagi sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) disampaikan oleh Kamaruzaman Mohamad di Dewan Utama Kompleks YIK, Tunjong, di sini menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila 41 daripada 83 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus. – HARAKAHDAILY 31/3/2026











