‘Wang perlindungan’ di Wangsa Maju: PAS desak siasatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Wangsa Maju mengecam keras isu tular yang mengaitkan seorang individu dipercayai ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dengan tindakan meminta ‘wang perlindungan’ daripada sebuah premis di kawasan berkenaan.

Ketua Penerangannya, Muhammad Hakim Al-Hashimi, dalam satu kenyataan media berkata, jika dakwaan tersebut benar, ia merupakan perbuatan yang memalukan serta berunsur penyalahgunaan kuasa yang boleh dikategorikan sebagai ugutan dan rasuah.

- Advertisement -

Menurut beliau, beberapa persoalan penting perlu dijawab pihak berkaitan, antaranya tujuan sebenar MPP berkenaan meminta wang daripada premis tersebut dan sama ada tindakan itu termasuk dalam tugas rasmi mereka.

“Jika premis tersebut didapati menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang, mengapa tindakan penguatkuasaan tidak diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Beliau turut mempersoalkan siapakah yang memberi ruang dan keberanian kepada individu terbabit untuk bertindak seolah-olah mempunyai kuasa luar biasa.

PAS Wangsa Maju menegaskan bahawa MPP bukanlah badan penguat kuasa dan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meminta bayaran daripada mana-mana premis.

“Sekiranya benar berlaku, tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan imej pentadbiran Wilayah Persekutuan secara keseluruhan,” tegasnya.

Katanya lagi, amalan sedemikian jika dibiarkan boleh membuka ruang kepada budaya ‘wang perlindungan’ serta salah guna kuasa yang menindas peniaga dan rakyat biasa.

Sehubungan itu, pihaknya mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu agar PDRM menjalankan siasatan segera di bawah peruntukan undang-undang berkaitan rasuah, ugutan atau salah guna kuasa.

Selain itu, PAS Wangsa Maju turut mendesak DBKL memberikan penjelasan rasmi mengenai peranan sebenar MPP serta mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melampaui bidang kuasa.

Dalam masa sama, mereka meminta Hannah Yeoh selaku menteri yang bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan kepada rakyat serta memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan segera.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang. Jika benar wujud elemen meminta wang perlindungan, tindakan tegas mesti diambil tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” katanya.

Tambahnya, sebarang kelewatan atau kegagalan pihak berkuasa bertindak hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan pentadbiran tempatan.

“Ini bukan negara ‘lesen siapa kuat dia berkuasa’, sebaliknya sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang,”katanya.- HARAKAHDAILY 27/3/2026

- Advertisement -