
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan supaya diadakan sidang Parlimen khas tergempar bagi membincangkan isu berkaitan kenaikan subsidi dan harga minyak diesel secara menyeluruh.
Beliau berkata, pembangkang perlu duduk bersama kerajaan untuk mencari solusi bagi menghadapi krisis berkenaan serta membela rakyat yang terkesan dengan kenaikan subsidi, kenaikan harga diesel dan pengurangan subsidi Budi 95 daripada 300 liter kepada 200 liter.
“Saya cadangkan buat sidang parlimen
tergempar dan kita duduk berbincang bersama-sama. Kerajaan perlu telus bercerita kepada rakyat apa sebenarnya yang terjadi,” katanya dalam satu vide di media sosial miliknya.
Menurut beliau, Perdana Menteri telah mengadakan sidang media khas memaklumkan bekalan minyak negara akan terjejas akibat peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat serta kesan terhadap Selat Hormuz.
“Yang peliknya sebelum daripada ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri menyebutkanbekalan minyak negara ni akan bertahan sehingga Mei 2026, harga akan kekal,” bidas beliau.
Beliau berkata, Perdana Menteri turut mengumumkan pengurangan jumlah liter subsidi Budi 95 daripada 300 liter kepada 200 liter.
“Yang menariknya ialah kalaulah pengumuman itu untuk mengurangkan penggunaan minyak petrol, kenapa dikurangkan jumlah liter yang disubsidikan?
“Perdana Menteri menyebutkan 90 peratus penggunahanya menggunakan sekitar 200 liter sahaja sebulan.
”Kalaulah betul begitu, maknanya
penggunaan liter jumlah liter tetap akan digunakan 200 liter oleh 90 peratus pengguna Budi95.
“Jadi apa logiknya, apa ironinya dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter? Adakah ini bermaksud kerajaan nak
mengurangkan tanggungan subsidi kepada rakyat?” soal beliau lagi.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya menyalurkan subsidi kepada rakyat memandangkan sebelum ini diumumkan pelbagai penjimatan hasil pelaksanaan dasar berkaitan subsidi.
Beliau berkata, antara penjimatan yang diumumkan termasuk pengapungan harga ayam dan telur, penstrukturan tarif elektrik, serta penyasaran subsidi diesel dan petrol yang keseluruhannya berjumlah RM15.5 bilion.
Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, kerajaan juga mengumumkan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijangka menambah hasil sebanyak RM6 bilion.
“Okeylah, mungkin tak dapat lagi hasil tu
sekarang ni sebab ni baru bulan tiga. Tapi persoalannya ke mana pergi
penjimatan-penjimatan yang telah
diumumkan sebelum daripada ini?
“Kenapa tak digunakan untuk tampung kos subsidi, untuk Budi 95? Dan kenapa tak gunakan penjimatan itu untuk buat satu program penyasaran subsidi ataupun budi diesel pula?” ulas beliau.
Beliau berkata, kenaikan harga diesel akan memberi kesan kepada peningkatan harga barangan dan sudah terdapat aduan harga sayur mula meningkat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu menjelaskan punca situasi berkenaan serta tempoh ketahanan stok minyak negara secara jujur kepada rakyat.- HARAKAHDAILY 27/3/2026











