Ihya’ Ramadan 1447H santuni 3,171 penerima – Dr Rosni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Ihya’ Ramadan 1447H anjuran PAS melalui Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat berjaya memberi manfaat kepada seramai 3,171 penerima sepanjang pelaksanaannya dari 19 Februari hingga 17 Mac 2026.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam, berkata program yang memasuki penganjuran kali ke-16 itu terus menjadi platform penting dalam menyantuni golongan memerlukan serta memperkukuh budaya kebajikan dalam masyarakat.

- Advertisement -

Beliau memaklumkan, antara pencapaian utama program tahun ini ialah Sumbangan Ambang Ramadan yang melibatkan 389 penerima, diikuti Iftar Jamaie dan edaran makanan kepada 2,460 penerima.

Selain itu, sumbangan khas kepada golongan murobitun telah disampaikan kepada 122 penerima, manakala program Semarak Kasih Ramadan menyantuni 200 penerima lagi.

“Iftar Jamaie yang dianjurkan turut mencatat kehadiran seramai 801 orang, sekali gus menunjukkan sambutan dan sokongan masyarakat terhadap program kebajikan yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, jumlah perbelanjaan bagi menjayakan program Ihya’ Ramadan 1447H adalah sebanyak RM58,540.88, yang diperoleh hasil sumbangan para dermawan dan sokongan pelbagai pihak.

Dr Rosni turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, sukarelawan dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap segala sumbangan dan usaha kebajikan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan ini akan terus diberkati serta menjadi inspirasi untuk memperkukuh semangat keprihatinan dalam masyarakat.- HARAKAHDAILY 27/3/2026

- Advertisement -