
DALAM mengulas isu Syria, biasanya fanboy al-Julani akan terus lompat ke kesimpulan ‘Iran datang Syria sebab nak tolong Bashar sembelih Sunni’. Hakikatnya, tidak begitu.
Setidaknya, ada 3 isu utama kenapa Iran terlibat di Syria.
Pertama, penglibatan Iran bukan suka-suka. Ia berlaku atas jemputan rasmi kerajaan Syria sendiri. Dari sudut hubungan antarabangsa, ini penting. Iran datang sebagai sekutu yang dipanggil, bukan menceroboh tanpa izin.
Kedua, Syria memang sekutu strategik Iran sejak zaman Hafez al-Assad lagi. Kedua-duanya berada dalam Mihwar Muqawamah. Tokoh HAMAS seperti Yahya Sinwar turut memperakui perkara ini.
Syria juga menjadi laluan logistik penting untuk sokongan kepada Hizbullah di Lubnan. Jadi kalau Syria jatuh, rantaian ini akan terputus.
Ketiga, faktor keselamatan. Cabaran kewujudan kumpulan bersenjata berideologi keras – ISIS dan Al-Qaeda. Kumpulan ini datang dengan pelbagai nama, tapi berkongsi akar pemikiran salafi-jihadi-takfiri yang sama.
Mereka mendapat sokongan dana dan senjata daripada kuasa luar termasuk Amerika dan negara-negara Teluk.
Disebabkan Assad tidak mahu tunduk kepada Barat, maka motif mereka di Syria adalah untuk menukar rejim dan mengganggu laluan logistik senjata Muqawamah di rantau itu.
Iran sedar ancaman ini. Ia bukan sekadar isu Syria, tapi boleh merebak ke seluruh rantau. Sebab itu mereka terlibat untuk mengekang kemaraan kumpulan-kumpulan ini.
Sekitar tahun 2017, di bawah pimpinan Jeneral Qassem Soleimani, ISIS berjaya dineutralkan. Tidak hairanlah kenapa tokoh ini begitu dibenci para pemuja ISIS.
Adapun al-Qaeda (HTS) berjaya menguasai Idlib dan mengumpul kekuatan di sana.
Jika faham fakta ini, tidak timbul isu Syiah bunuh Sunni. Yang diperangi Iran itu adalah pemberontak khawarij yang menunggang nama mujahidin yang didanai oleh Amerika dan sekutu untuk menjatuhkan salah satu anggota Muqawamah.
Berikut kronologi ringkas konflik Syria yang saya kutip daripada tulisan Dr Dina Sulaeman dengan sedikit olahan dan tambahan.
– Tahun 2011: Golongan pembangkang mengadakan demonstrasi bagi menuntut reformasi.
– Berlaku beberapa kes pembunuhan, dengan korban di pihak orang awam dan juga aparat keselamatan (menunjukkan sejak awal lagi terdapat unsur jihadis yang telah bersiap dengan senjata).
– Aksi demonstrasi ‘pro-demokrasi’ gagal menggulingkan rejim kerana Bashar al-Assad memenuhi semua tuntutan, termasuk pindaan Perlembagaan.
– Pertengahan 2012: Kumpulan jihadis (termasuk Jabhat al-Nusra) secara terbuka mengisytiharkan jihad untuk menggulingkan Assad dan menubuhkan khilafah.
– Tahun 2013: ISIS ditubuhkan. Tentera Syria berperang menentang ISIS dan milisi berkaitan Al-Qaeda (yang terdiri daripada pelbagai kumpulan). Namun mereka menghadapi kesukaran besar kerana kumpulan pemberontak ini menerima dana dan senjata daripada Amerika Syarikat, NATO, negara-negara monarki Arab dan Israel. Bekas Menteri Luar Qatar dilaporkan pernah mengakui adanya sokongan kepada pemberontak di Syria.
– Kerajaan Syria secara rasmi meminta bantuan Rusia dan Iran untuk memerangi ISIS dan Al-Qaeda. Rusia mula campur tangan secara ketenteraan pada 2015 dengan serangan udara. Pasukan IRGC Iran, di bawah pimpinan Qassem Soleimani, secara rasmi terlibat sekitar 2014, melatih sukarelawan dari Iraq dan Syria untuk operasi darat.
– Tahun 2017: ISIS diisytiharkan tewas, manakala kumpulan berkaitan Al-Qaeda seperti HTS serta milisi lain menguasai wilayah Idlib. Mereka terus mengukuhkan kekuatan dan melakukan serangan di kawasan yang dikuasai kerajaan. Sekitar tempoh ini, terdapat pihak-pihak tertentu yang aktif mengumpul dana untuk disalurkan ke Idlib.
– 27 November 2024: Rejim Assad yang semakin lemah akibat sekatan ekonomi dan perang berpanjangan akhirnya tumbang. Assad tidak lagi meminta bantuan Iran dan Rusia, menyebabkan kedua-dua negara menarik keluar tentera mereka. Assad dan keluarganya melarikan diri ke Rusia.
– Disember 2024: Abu Mohammad al-Julani mengambil alih Damsyik.
– 29 Januari 2025: Al-Julani melantik dirinya sebagai presiden sementara Syria. Selepas itu, tidak lagi kedengaran usaha untuk menegakkan khilafah dan janji membebaskan Baitul Maqdis tidak lagi menjadi keutamaan. Sebaliknya, Syria yang baharu memilih bermusuhan dengan Iran dan Muqawamah serta berpihak kepada blok Barat, termasuk menghadiri mesyuarat rundingan keselamatan dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Kesimpulannya, penglibatan Iran di Syria bukan boleh difahami dengan satu naratif mudah. Hanya yang singkat akal dan malas berfikir sahaja akan mudah terpedaya dengan propaganda sektarian.
**Perhatikan kekejian luar biasa kumpulan Jabhat an-Nusra ketika berperang di Syria. Mereka mengebom hospital sambil bertakbir.
AZIZ AZHAR – HARAKAHDAILY 26/3/2026
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/v/18QjVGwdgy/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











