Perkembangan mutakhir perang Iran – AS – negara haram Israel

- Advertisement -

TENTERA Iran atau IRGC terus ‘menghujani’ negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan Tel Aviv, Jerusalem, Negev, Beit Shemesh, Gush Dan, Rishon LeZion, fasiliti pemprosesan minyak dan gas di Haifa, pangkalan tentera udara Nevatim dan lain-lain tempat lagi. Media negara haram Israel, Yedioth Ahronot melaporkan bahawa sebuah bangunan 8 tingkat di Tel Aviv mengalami kerosakan teruk akibat serangan peluru berpandu Iran. Tentera Iran atau IRGC juga mengumumkan bahawa ia telah melancarkan serangan dron ke atas Kementerian Keselamatan Nasional negara haram Israel di Jerusalem, Rangkaian Televisyen Channel 13 di Tel Aviv dan fasiliti tentera darat dan fasiliti perisikan Arar. Serangan ke atas Haifa mengakibatkan rangkaian bekalan elektrik di Haifa mengalami kerosakan teruk dan Haifa kini terputus bekalan elektrik.

Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf menyatakan bahawa mengikut kenyataan dari pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS) dan negara haram Israel, 320 peratus daripada pelancar peluru berpandu Iran telah berjaya dimusnahkan. Namun begitu, Iran masih melancarkan serangan peluru berpandu dalam skala yang besar. Sekarang mereka berkata sasaran baharu adalah untuk memusnahkan 500 peratus pelancar peluru berpandu Iran. Satu pencapaian unik buat tentera Amerika Syarikat!

- Advertisement -

CNN melaporkan bahawa sebuah pesawat pejuang F-35 tentera udara Amerika Syarikat telah melakukan pendaratan cemas di sebuah pangkalan tentera udara Amerika Syarikat di Asia Barat akibat kerosakan teruk dipercayai ditembak oleh sistem pertahanan udara Iran.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan negara haram Israel, dalam tempoh 24 jam lalu seramai 177 orang pendatang haram Yahudi mengalami kecederaan akibat daripada serangan dron dan peluru berpandu Iran dan Hizbullah ke atas negara haram Israel.

Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan aset-aset strategik di Tehran, Shiraz, Bushehr, Karaj dan lain-lain tempat lagi.

Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Khiam, Taybeh dan sebahagian besar bandar di selatan Lubnan. Ketika ini dilaporkan berlakunya pertempuran sengit antara anggota Hizbullah dan tentera penjajah rejim Zionis Israel di beberapa kawasan di Selatan Lubnan berikutan pencerobohan tentera penjajah  rejim Zionis Israel melewati sempadan Lubnan.

Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Galilee, Netanya, Kiryat Shmona, Ashkelon, Misgav Am, Odaisseh, Manara dan sebahagian besar wilayah utara negara haram Israel. Hizbullah turut melancarkan serangan dron bertali arus ke atas pangkalan tentera Shamshon di Barat Tasik Tiberias antara Bukit Golan dan Galilee.

Media Lubnan, Al-Manar melaporkan bahawa berlaku pertempuran sengit antara anggota Hizbullah dan tentera rejim penjajah Zionis Israel di Taybeh hingga mengakibatkan kecederaan parah dan mungkin kematian di kalangan anggota tentera penjajah rejim Zionis Israel. Dalam pertempuran tersebut juga, sebanyak 6 buah kereta kebal Merkava musnah akibat dibedil dengan roket oleh anggota Hizbullah. Media negara haram Israel menyatakan bahawa situasi di Taybeh adalah ‘situasi keselamatan yang serius’ dengan 7 operasi menyelamat dilakukan oleh helikopter tentera penjajah rejim Zionis Israel di mana kemudiannya tentera rejim penjajah Zionis Israel mengenakan ‘cencorship’ yang amat ketat berikutan situasi tersebut.

Media negara haram Israel, Kan melaporkan bahawa tentera rejim penjajah Zionis Israel sedang berada 6km melepasi sempadan di selatan Lubnan dengan pencerobohan darat tersebut dilakukan oleh 6 briged tentera penjajah rejim Zionis Israel.

Dalam lintas langsung di rangkaian televisyen negara haram Israel awal pagi tadi (waktu tempatan), Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa beliau masih hidup sambil mengulangi kehendaknya untuk melakukan ‘regime change’ di Iran dan menggesa rakyat Iran bangkit melakukan pemberontakan untuk menumbangkan Kerajaan Republik Islam Iran. Beliau juga menyatakan bahawa negara haram Israel kini adalah kuasa besar dunia dan Iran semakin lemah serta akan ‘memotong tangan sesiapa sahaja’ yang cuba mengancam negara haram Israel. Beliau turut berkata bahawa negara haram Israel akan mengubah Asia Barat dan telah melakukannya hingga menjadi ‘tidak dapat dikenali’.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan bahawa Amerika Syarikat langsung tidak mengetahui mengenai serangan udara tentera penjajah rejim Zionis Israel ke atas medan gas South Pars di Teluk Parsi, menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘tindakan impulsif’ yang disebabkan oleh kemarahan. Beliau turut menyatakan bahawa rejim penjajah Zionis Israel telah menghentikan serangan melainkan jika Iran bertindak balas, seterusnya memberi amaran jika Iran terus menyerang infrastruktur LNG Qatar, Amerika Syarikat akan bertindak balas menyerang medan gas South Pars dengan ‘full force’. Ianya amat bercanggah dengan kenyataan terdahulu Donald Trump yang berkata Amerika Syarikat dimaklumkan lebih awal mengenai serangan tersebut dengan Amerika Syarikat memberikan ‘lampu hijau’ kepada rejim penjajah Zionis Israel untuk melakukannya dalam usaha untuk mengenakan tekanan ke atas Iran.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud memberi amaran bahawa Arab Saudi bakal bertindak balas ke atas Iran dengan tindakan ketenteraan dan sebarang kepercayaan ke atas Iran telah ‘hilang’.  Beliau mendakwa Iran melakukan ‘delibarate hostile act’ dengan negara jiran dan menggesa Iran mengawal tingkah lakunya.

Menurut laporan Reuters, Negara-negara Teluk telah menggesa PBB untuk mengadakan ’emergency debate’ di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Switzerland berikutan tindakan Iran menyerang fasiliti ketenteraan dan tenaga di negara-negara Teluk dengan satu draf resolusi telah diketengahkan oleh negara-negara Teluk yang mengecam keras Iran dan menggesa supaya dihentikan serta merta serangan ke atas infrastruktur awam dan perkapalan komersial di Selat Hormuz di samping menuntut ganti rugi ke atas kerosakan infrastruktur awam dan alam sekitar.

Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh 12 negara iaitu Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Azerbaijan, Turkiye, Kuwait, Syria, Jordan, Pakistan, Lubnan, Mesir dan UAE selepas berlangsungnya mesyuarat Menteri – menteri Luar Negara terbabit di Riyadh, Arab Saudi semalam, menggesa Iran untuk menghentikan serangan serta-merta dan menegaskan adalah menjadi hak negara-negara yang diserang mempertahankan diri selaras dengan Artikel 51 Piagam PBB. Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa Iran perlu mematuhi dan menghormati undang-undang antarabangsa serta melaksanakan prinsip kejiranan yang baik sebagai langkah pertama ke arah mengurangkan ketegangan dan memulihkan kestabilan serantau.

Dalam satu kenyataan media bersama, Britain, Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Jepun, negara-negara berkenaan telah menunjukkan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam usaha untuk memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz.

Pejabat Media Abu Dhabi mengesahkan bahawa operasi di kompleks pemprosesan minyak dan gas Habshan di Abu Dhabi terpaksa dihentikan berikutan serangan peluru berpandu Iran. Kuwait Petroleum Cooperation mengumumkan bahawa ia telah mengantung operasi loji pemprosesan minyak dan gas Mina Abdullah dan Mina Al-Ahmad berikutan serangan Iran. Qatar menyatakan bahawa serangan peluru berpandu Iran ke atas loji pemprosesan minyak dan gas Ras Laffan (bandar industri Ras Laffan) telah mengakibatkan kerosakan teruk.

The Washington Post melaporkan bahawa Pentagon telah memohon peruntukan tambahan sebanyak USD200 billion daripada pentadbiran Donald Trump untuk kelangsungan operasi ketenteraan ke atas Iran.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
30 Ramadan 1447H/20 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 20/3/2026

- Advertisement -