
TENTERA Iran atau IRGC terus ‘menghujani’ negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan Tel Aviv, Jerusalem, Negev, Dimona, Beit Shemesh, Gush Dan, Beersheba, Petah Tevka, Eilat, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Rishon LeZion dan lain-lain tempat lagi. Serangan ke atas negara haram Israel yang bermula awal pagi semalam telah mengakibatkan kemusnahan besar ke atas Greater Tel Aviv dan kawasan sekitarnya serta dilaporkan seramai dua orang pendatang Yahudi telah mati termasuk puluhan lagi mengalami kecederaan. Turut dilaporkan bahawa tiga buah kapal terbang yang berada di lapangan terbang antarabangsa Ben Gurion musnah akibat serangan tersebut.
Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad. Tentera Iran atau IRGC turut melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di wilayah Sulaymaniyah di Iraq.
Iran memberi amaran akan menyerang aset-aset minyak dan gas yang terletak di Asia Barat dan negara haram Israel sebagai tindak balas berikutan serangan ke atas medan gas asli South Pars yang terletak di Teluk Parsi dan menggesa agar dikosongkan dengan segera fasiliti-fasiliti minyak dan gas berkenaan antaranya:
1. Loji penapisan minyak dan gas SAMREF di Arab Saudi.
2. Medan gas asli Al Hosn di UAE.
3. Kompleks petrokimia Jubail di Arab Saudi.
4. Kompleks petrokimia Mesaieed di Qatar.
5. Loji penapisan minyak dan gas Ras Laffan fasa 1 dan 2 di Qatar.
6. Loji penapisan dan pemprosesan minyak dan gas di Haifa, negara haram Israel.
Berikutan itu, loji-loji dan fasiliti di medan minyak dan gas telah mula dikosongkan. Bermula malam semalam, Tentera Iran atau IRGC telah mula melancarkan serangan ke atas loji serta medan minyak dan gas di atas dengan dilaporkan berlaku letupan dan kebakaran besar di Ras Laffan, termasuk beberapa letupan yang amat kuat di Riyadh yang kemudiannya menyebabkan kebakaran besar di mana mengikut beberapa laporan ia adalah fasiliti minyak dan gas milik ARAMCO.
Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian telah mengesahkan bahawa Menteri Perisikan Republik Islam Iran, Ismail Khatib telah terkorban dalam serangan udara tentera penjajah rejim Zionis Israel malam semalam.
Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan aset-aset strategik di Tehran, Shiraz, Isfahan, Bandar Anzali, Lahijan, Gilan, Rasht dan lain-lain tempat lagi. Buat pertama kalinya semalam, tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel telah melancarkan serangan udara ke atas kawasan fasiliti nuklear Bushehr. Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel dilaporkan telah melancarkan serangan udara ke atas medan gas asli terbesar Iran dan di dunia iaitu medan gas asli South Pars dan fasilitinya yang terletak di Teluk Parsi.
Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Khiam, Baalbek, Beit Yahoun, Zifta, Toulene, Bint Jbeil, Qantara dan sebahagian besar bandar di Selatan Lubnan. Tentera rejim penjajah Zionis Israel mengumumkan bahawa batalion ke 36 tenteranya telah mula memasuki memasuki Selatan Lubnan. Hospital Nabih Beri dilaporkan mengalami kerosakan teruk akibat serangan udara tersebut.
Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Galilee, Manara, Taybeh, Kiryat Shmon, Ashdod, Asqalan, Rehovot, Ramla, Bukit Golan, Nahariya, Taybi dan sebahagian besar wilayah utara negara haram Israel. Serangan juga disasarkan ke atas pangkalan tentera udara Palmachim di negara haram Israel. Hezbullah juga dilaporkan menyasarkan 11 buah bandar penempatan haram Yahudi yang terletak di sepanjang sempadan negara haram Israel – Lubnan. Buat pertama kalinya, Hizbullah dilaporkan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kedudukan tentera rejim penjajah Zionis Israel dan beberapa lagi kawasan di Semenanjung Gaza.
Kumpulan proksi Iran di Iraq terus melancarkan serangan dron bertali arus ke atas Kedutaan Amerika Syarikat yang terletak di zon hijau Baghdad yang menyebabkan letupan dan kebakaran besar berlaku di kawasan kedutaan tersebut.
Kementerian Luar Qatar dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan menyatakan bahawa atase ketenteraan dan keselamatan Republik Islam Iran termasuk kakitangannya di Kedutaan Republik Islam Iran di Qatar diisytiharkan ‘persona non grata’ dan diminta meninggalkan Qatar dalam masa 24 jam.
Menteri Luar Oman, Bader Hamad al-Busaidi menyatakan bahawa sekutu dan rakan Amerika Syarikat sewajarnya membantu menarik Amerika Syarikat keluar daripada ‘peperangan yang tidak sah’ ini.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
29 Ramadan 1447H atau 19 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 19/3/2026











