
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menggerakkan aset dan tenaga kerja secara menyeluruh bagi memastikan bekalan air kekal stabil tanpa gangguan sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini.
AKSB melaksanakan pelan mitigasi dengan menyediakan 11 lori tangki air milik syarikat untuk dihantar ke kawasan terjejas.
“Sebanyak 14 lori tangki air kontrak turut disiap siaga, namun operasinya dihadkan antara jam 9 pagi hingga 6 petang,” menurut satu kenyataan media dari pihak AKSB.
Selain itu, tambah kenyataan berkenaan, 544 tangki statik ditempatkan di lokasi strategik bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air.
“Sebanyak 14 pasukan pembaikan paip bersama 12 pasukan kontraktor digerakkan bagi memastikan sebarang gangguan dapat ditangani segera
“Setiap jajahan turut diselia pasukan utama yang diketuai pengurus jajahan dengan sokongan teknikal operasi,” ujar kenyataan itu lagi.
AKSB turut memaklumkan pelan kesiapsiagaan ini melibatkan semua jajahan dan dilaksanakan bermula 19 hingga 26 Mac bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang musim perayaan.
“Ketika ini, 43 loji rawatan air beroperasi di seluruh Kelantan, membekalkan air kepada lebih 269,000 akaun pengguna,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, pengeluaran semasa mencecah 531 juta liter sehari, manakala permintaan dijangka meningkat kepada 584 juta liter sehari dengan waktu puncak antara 20 hingga 23 Mac.
“AKSB komited memastikan bekalan air terus mencukupi dan stabil demi keselesaan rakyat sepanjang Aidilfitri,” katanya.
Langkah proaktif ini, ujar kenyataan itu, diharap mampu memberi jaminan kepada rakyat Kelantan untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih tenang dan selesa.
Sehubungan itu, talian AKSB Careline (PINTAS) di nombor 15777 telah diaktifkan bermula 19 hingga 23 Mac dari jam 8 pagi hingga 10 malam.
“Pada hari pertama dan kedua Aidilfitri, operasi talian tersebut bermula jam 10 pagi hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 19/3/2026
l











