Singgah Sahur santuni ‘frontliner’ DUN Bukit Ibam

- Advertisement -

ROMPIN: Keprihatinan terhadap petugas barisan hadapan (frontliner) terus dizahirkan apabila program Singgah Sahur anjuran Pemuda PAS Rompin kembali dilaksanakan bagi menyantuni mereka yang bertugas pada waktu dinihari sepanjang Ramadan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad turut turun padang menyertai program tersebut yang diadakan sekitar kawasan DUN Bukit Ibam, malam tadi.

Program itu menyasarkan golongan frontliner yang tetap menjalankan amanah ketika masyarakat lain berehat, antaranya pengawal keselamatan, anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam.

Sebanyak kira-kira 55 pek makanan singgah sahur telah diagihkan kepada para penerima sebagai tanda penghargaan atas khidmat mereka kepada masyarakat dan negara.

Menurut Ustaz Nazri, program itu telah memasuki tahun ke-12 penganjurannya dan terus mendapat sambutan serta pengiktirafan daripada para penerima.

“Ini adalah tahun kedua belas program Singgah Sahur anjuran Pemuda PAS Rompin.

“Alhamdulillah, kita sentiasa menambah baik dalam pengagihan ini dan kebanyakan penerima sering tertunggu-tunggu program ini, menunjukkan mereka sudah kenal bahawa Pemuda PAS Rompin akan hadir menyantuni mereka setiap kali Ramadan,” katanya.

Program itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pimpinan dan masyarakat, malah menjadi simbol penghargaan kepada golongan yang berkorban masa dan tenaga demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 17/3/2026

- Advertisement -