
SELAIN daripada mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah dan politik, tempatan dan dunia, penulis juga meminati seni. Semasa di sekolah rendah penulis pernah mengikut sayembara melukis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), yang diadakan di kompleks majlis, di tepi pantai bertentangan dengan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Penulis melukis pemandangan pulau di seberang laut dengan rona-rona senja. Pada sebelah petangnya, lukisan cat air itu mendapat hadiah saguhati sebuah buku nipis, bertajuk ‘Api Yang Sejuk’.
Penulis yang ketika itu masih mentah mengaku agak terkesima dengan tajuk buku tersebut. Sungguh ironi. “Ada ka api yang sejuk?” Selang beberapa hari setelah membaca buku tersebut, barulah penulis faham akan maksud dan moral cerita yang hendak disampaikan naskah tersebut. Sesungguhnya peristiwa junjungan besar kita Nabi Ibrahim AS dibakar dengan unggun api gergasi Raja Namrud yang langsung tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada baginda, malah sejuk dan nyaman ketika baginda berada di dalamnya, kekal terpahat dalam minda penulis hingga sekarang.
Konsep berani kerana benar dan tiada apa yang patut ditakutkan jika kita di jalan kebenaran kerana sesungguhnya Allah SWT akan bersama kita malah akan memberikan bantuan dan ganjaran makin terpahat kukuh di sanubari. Kisah tersebut sangat mengesankan seolah meniupkan satu macam rasa ‘superpower’ dalam jiwa kecil penulis.
Watak dan perwatakan Nabi Ibrahim AS yang sedari kecil lagi bijak malah berani memilih untuk melawan batil bukan saja mencuit hati (atas kebijakan baginda) malah terpahat menjadi role model bahawa kebatilan, apatah lagi dosa syirik perlu ditentang habis-habisan. Tiada kompromi. Apa yang menarik baginda bukan saja memilih untuk tidak bersubahat menjual patung-patung berhala yang ditarah bapanya sendiri. Ada yang diperbuat daripada kayu dan tanah liat namun kesemuanya telah dihancurkan Nabi Ibrahim AS walaupun hidup di sekeliling masyarakat kafir ketika itu.
Direkodkan juga Nabi Ibrahim AS usai menghancurkan patung-patung berhala memilih untuk mempertanggungjawabkan perbuatannya kepada satu berhala besar yang sengaja dibiarkan kekal berdiri. Malah baginda dengan bijaksana menggantungkan kapak yang digunakan pada leher berhala besar tersebut.
Dan ketika baginda dihadapkan kepada Raja Namrud yang bertanya sama ada benar baginda lah yang bertanggungjawab memusnahkan patung-patung berhala seperti yang dituduh masyarakat kafir setempat, baginda dengan bijaksana pula menepis tuduhan mereka dengan menuduh bahawa berhala besar itulah yang ‘mengamuk’ kerana cemburu dengan berhala-berhala kecil yang menjadi sembahan mereka.
Malah lebih bijaksana lagi, Khalilullah itu bertegas menyuruh masyarakat kafir setempat bertanyakan terus kepada berhala besar itu apa benar kerosakan yang berlaku adalah angkara ia? Dalam pada ada yang merasa mungkin ada benarnya apa yang dihujahkan Nabi Ibrahim AS namun mereka seakan berasa bodoh sendiri kerana sesungguhnya ‘sedar’ bahawa berhala iu tidak mampu berkata-kata.
Menurut sumber tradisi Nasrani Syria, tongkat kayu yang digunakan Nabi Musa AS yang dihadiahkan bapa mertuanya, seorang alim berketurunan Midian, ialah tongkat kayu yang sama yang telah digunakan oleh Nabi Ibrahim AS untuk memusnahkan semua patung-patung berhala. Tongkat tersebut dikatakan diwarisi daripada Nabi Adam AS dan berasal daripada sebatang pohon syurga yang diwariskan secara turun-temurun dan direkodkan juga dalam sumber yang sama bahawa Tuhan menitahkan Nabi Ibrahim AS, ‘Get thee out of thy’s father house’.
Membaca kisah ini mengingatkan penulis kepada usaha fisabilillah yang sedang dilakukan oleh beberapa sahabat kita ketika ini. Walaupun mereka dihujat, difitnah, dizalimi dengan pelbagai cara seperti dibogelkan dan dimalukan ketika dijel sehingga ada yang diugut bunuh namun semuanya mereka kekal istiqamah dan yakin ianya hanya akan berlaku dengan izin Allah SWT juga.
Sememangnya kita gembira isu pencerobohan kuil haram di tanah wakaf milik Yayasan Kubra berakhir dengan aman damai dan penuh harmoni dengan pembabitan pelbagai lapisan kaum, latar-belakang dan agama sama-sama bergotong-royong membersihkan tanah wakaf untuk sekumpulan anak-anak yatim itu. Terima kasih kepada mereka yang hadir kerana telah sama-sama menunjukkan keharmonian Malaysia yang sering dipuji ramai.
Semoga episod rusuhan, terrorisme dan jenayah tidak berperi-kemanusiaan yang telah meragut nyawa seorang penjawat awam bomba yang hanya ditugaskan untuk memadam api yang sedang marak ketika rusuhan kes kuil haram di Subang Jaya, Selangor beberapa tahun lampau tidak berulang lagi.
Jasa Muhammad Adib Mohd Kassim tidak pernah kami semua lupakan namun amat kesal kerana sehingga ke hari ini hampir sepuluh tahun Arwah Adib dibunuh kejam, kumpulan penjenayah dan pengganas tersebut masih gagal dihadapkan ke muka pengadilan dan kita sememangnya masih bersedih.
Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak sepatutnya membelakangkan hak Arwah Adib dan keluarganya dengan memandang sepi keberanian dan semangat keperwiraan yang dilakukan oleh arwah walaupun sedar nyawa beliau dan rakan-rakan berkemungkinan berdepan bahaya ketika bergegas menuju ke lokasi rusuhan pada hari tersebut.
Kita ambil maklum bahawa Himpunan Ops Terjah Rumah Anutan Haram yang dirancangkan mengambil tempat di Hospital Bukit Mertajam pada Sabtu, 7 Mac telah dibatalkan dengan penuh harmoni dan walaupun pada awalnya terdapat suara-suara yang cuba memecah-belahkan hubungan sesama kaum dengan mengapikan sentimen perkauman kita bersetuju dengan pandangan dan pendirian ketua sementara GARAH (Gerakan Anti Rumah Anutan Haram), Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi hanya kerana ianya melibatkan rumah-rumah anutan.
Di sini direkodkan pesanan beliau yang dibuat beberapa hari lebih awal bahawa isu sebenarnya ialah usaha untuk membendung pembinaan rumah anutan haram yang sudah puluhan tahun menjadi barah kepada negara dan menyarankan agar pihak berkuasa membantu menjadi pemudah-cara himpunan aman tersebut (sebelum pembatalan yang dibuat pada Jumaat, 6 Mac). Beliau juga menegaskan bahawa himpunan aman sememangnya mengikut lunas-lunas perlembagaan seperti Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan keputusan mahkamah-mahkamah tinggi negara yang mengatakan rakyat Malaysia berhak untuk berhimpun secara aman.
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 7/3/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











