
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) dan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinannya kini hadir sebagai jawapan paling meyakinkan kepada harapan dan aspirasi rakyat Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Muhammad Afifi Abdul Razak menyifatkan penampilan Menteri Besar Terengganu tersebut ke pentas politik nasional tepat pada masa, orang dan strategi iaitu ketika suasana rakyat semakin dahagakan kepimpinan berasaskan kecekapan, integriti dan penyelesaian dasar yang pragmatik.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, terdapat sebab untuk yakin bahawa Dr Sam mampu menterjemahkan kejayaan negeri diterajuinya kepada kerangka kepimpinan nasional yang lebih besar dan kompleks.
“Ia mencerminkan kematangan PN sebagai gabungan yang tidak hanya bergantung pada karisma pemimpin lama, tetapi berani tampil dengan wajah baharu yang menggabungkan kekuatan akademik, pengalaman pentadbiran dan keperibadian yang tenang serta berhemah,” ujarnya.
Beliau memuji pelantikan Dr Sam sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu pada 22 Februari 2026 sebagai satu keputusan yang tepat, berani dan penuh bermakna bagi gabungan pembangkang utama negara.
“Ia bukan sekadar pertukaran wajah di pucuk pimpinan, tetapi satu isyarat strategik yang jelas bahawa PN sedang menyusun semula haluannya dengan lebih tersusun dan berstrategi,” ujarnya yang merupakan pensyarah kanan politik di Pusat Pengajian Antarabangsa UUM.
Menurut beliau, pelantikan itu dilihat bukan sahaja bermatlamatkan untuk mengukuhkan diri daripada tekanan dalaman yang melanda sejak pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah untuk tampil sebagai alternatif kepimpinan nasional yang lebih meyakinkan menjelang PRU16.
“Beliau menggantikan Muhyiddin yang telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2026, setelah memimpin PN sejak penubuhannya pada 7 Ogos 2020. Majlis Tertinggi PN sebulat suara bersetuju melantik Dr Ahmad Samsuri, dengan keputusan dicapai dalam masa kira-kira 90 minit.
“(Ia) satu petanda jelas bahawa pelantikan ini merupakan hasil muafakat yang telah diterima bulat oleh semua pihak dalam gabungan, termasuk presiden keempat-empat parti komponen iaitu PAS, BERSATU, GERAKAN dan MIPP.
“Ini mencerminkan betapa kuatnya keyakinan parti-parti komponen PN terhadap kepimpinan dan ketokohan Dr Ahmad Samsuri,” ujarnya turut memetik komentar awal penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.
Dr Awang Azman menyifatkan pelantikan itu sebagai keputusan kompromi yang diterima semua parti dalam gabungan, dengan peribadi Dr Samsuri tidak terlalu ideologikal dan bebas kontroversi menjadikannya calon mampu diterima pelbagai pihak dalam dan luar gabungan.
Muhammad Afifi turut menyentuh latar belakang Dr Sam yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pencucuhan Enjin Aero dan Pembakaran (Kegagalan Enjin di Altitud Tinggi) dari School of Mechanical Engineering, University of Leeds, United Kingdom.
Dr Sam juga kemuka beliau, pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan penasihat teknologi sebelum terjun ke kancah politik, di mana dengan kapasiti itu membawa bersama budaya kepimpinan berasaskan fakta, data dan kecekapan yang amat diperlukan oleh Malaysia hari ini.
“Dalam konteks PAS, beliau mewakili definisi baharu kepimpinan yang lebih inklusif — bukan lagi terhad kepada model ulama tradisional semata-mata, tetapi menggabungkan kekuatan ulama dan teknokrat dalam satu figura yang relevan dengan tuntutan semasa.
“Latar belakang akademik dan profesional inilah yang menjadi asas kepada rekod pentadbiran beliau di Terengganu, sebuah rekod kerja yang tidak boleh dipertikaikan,” ujarnya turut mengemukakan rekod PN menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu.
Menurut beliau, kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri 2023 ketika di bawah kepimpinan Dr Ahmad Samsuri itutelah menjadikan Terengganu antara negeri yang pernah beroperasi tanpa wakil pembangkang dalam sejarah politik Malaysia moden.
Mana kala di peringkat Parlimen, PN turut memenangkan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri itu yang disifatkan Muhammad Afifi sebagai satu rekod cemerlang dan memberi legitimasi politik kukuh kepada beliau untuk melangkah ke pentas nasional.
Menyatukan semula PN
“Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Dr Ahmad Samsuri mengambil alih tampuk kepimpinan dalam keadaan PN menghadapi beberapa cabaran yang perlu ditangani dengan bijaksana.
“Cabaran pertama ialah mengurus keretakan dalaman PN, terutamanya berkaitan perpecahan dalam BERSATU susulan pemecatan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
“Namun, hakikat bahawa Hamzah sendiri tampil mengumumkan sokongan penuh kepada Dr Ahmad Samsuri bersama 18 Ahli Parlimen lain,” ujarnya merujuk pengumuman dibuat Hamzah yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia ketika ini.
Beliau melihat sokongan padu tersebut merupakan tanda positif bahawa kepimpinan baharu oleh Dr Sam berpotensi besar menjadi titik perpaduan yang menyatukan semula semua elemen dalam gabungan.
Beliau malah menyoroti kemelut politik di Perlis pada Disember 2025 lalu yang turut menjejaskan hubungan PAS dan BERSATU, pastinya memerlukan pengurusan berhemah di mana kelebihan itu ada pada Dr Sam.
Kata Muhammad Afifi lagi, Dr Ahmad Samsuri yang juga merupakan Naib Presiden PAS itu adalah seorang pemimpin berkarakter tenang, rasional dan berorientasikan penyelesaian, berbanding pemimpin yang gemar berpolitik secara konfrontatif.
Tambahnya, terdapat pandangan yang mempersoalkan autonomi Dr Sam memandangkan kedudukannya dalam hierarki PAS, di mana sebahagian penganalisis berpandangan bahawa beliau mungkin lebih bertindak sebagai wakil konsensus berbanding pusat kuasa autonomi.
Menurutnya, hal tersebut memandangkan struktur kepimpinan PAS yang masih didominasi oleh faksi ulama di bawah pimpinan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, namun pandangan ini perlu dilihat secara lebih adil dan menyeluruh.
“Rekod pentadbiran Dr Ahmad Samsuri di Terengganu membuktikan bahawa beliau mampu membuat keputusan berdasarkan pertimbangan teknikal dan kebajikan rakyat, bukan semata-mata arahan ideologi.
“Keupayaannya memimpin kerajaan negeri secara cekap selama dua penggal; dengan fokus kepada pembangunan infrastruktur, tadbir urus fiskal dan modal insan; menunjukkan bahawa beliau bukan sekadar pemimpin simbolik, tetapi seorang eksekutif yang berkesan.
“Dalam mana-mana gabungan politik yang matang, kepimpinan berasaskan konsensus dan muafakat adalah kekuatan, bukan kelemahan. Keupayaan Dr Ahmad Samsuri untuk diterima oleh semua pihak; termasuk Abdul Hadi, Muhyiddin dan parti-parti komponen lain,” ujarnya.
Muhammad Afifi menegaskan bahawa semua itu sebenarnya membuktikan kebijaksanaan politik Dr Ahmad Samsuri dalam mengemudi landskap dalaman yang kompleks.
“Cabaran membina profil nasional yang lebih kukuh juga bukanlah halangan yang tidak dapat diatasi, memandangkan beliau kini mempunyai platform yang lebih besar untuk menonjolkan kepimpinannya kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Beliau juga berpandangan impak pelantikan Dr Sam terhadap PN amat positif dan signifikan di mana paling ketara, pelantikan ini menandakan peralihan kuasa yang matang dan teratur dalam PN, dengan PAS sebagai parti dominan gabungan kini secara rasmi mengambil alih kepimpinan.
“Walaupun PAS memenangi 49 kerusi Parlimen berbanding BERSATU yang meraih 25 kerusi dalam PRU15 2022, parti Islamis itu sebelum ini dengan rendah hati menyerahkan kepimpinan gabungan kepada BERSATU demi menjaga kestabilan dan penerimaan yang lebih luas.
“Peralihan ini kini membawa kesegaran baharu dan memberikan PN identiti kepimpinan yang lebih jelas, tegas dan berwibawa menjelang PRU16,” hujah beliau lagi turut memetik pendapat Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) UTM itu menegaskan bahawa pelantikan ini memberi rakyat pilihan pemimpin baharu yang lebih segar dan bertenaga berbanding generasi lama; dan ini adalah modal sangat berharga bagi PN dalam usaha menarik sokongan pengundi muda serta golongan neutral.
Menata kompas sokongan rakyat
Muhammad Afifi juga mengulas data kajian Ilham Center dan Merdeka Center selepas PRU15 yang menunjukkan sokongan PN dalam kalangan pengundi Cina dan India masih perlu dipertingkatkan.
Beliau berhujah, terdapat ruang untuk optimisme berasas di mana imej teknokrat Dr Ahmad Samsuri yang lebih sederhana dan inklusif; berbeza daripada gaya kepimpinan konfrontatif pernah dikaitkan dengan PN sebelum ini.
Jelas Afifi, ini membuka peluang lebih luas untuk merapatkan jurang sokongan tersebut memandangkan pendekatan Dr Sam mengutamakan penyampaian perkhidmatan dan pembangunan pragmatik di Terengganu.
Terangnya, rekod pengalaman tersebut boleh menjadi asas untuk membina kepercayaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang lebih mementingkan prestasi dan integriti berbanding retorik semata-mata. – HARAKAHDAILY 28/2/2026











