Tiada arak dalam pesawat bukan punca bankrap

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

IPOH: Hidangan minuman keras di dalam pesawat bukanlah prasyarat kepada kelangsungan atau kejayaan operasi sesebuah syarikat penerbangan, sebaliknya kecekapan pengurusan serta kualiti perkhidmatan menjadi penentu utama.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, rekod menunjukkan sekurang-kurangnya 14 syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi tanpa menghidangkan arak, namun kekal berdaya saing sehingga hari ini.

“Sehingga kini syarikat-syarikat penerbangan ini terus beroperasi dan tidak bankrap sebagaimana yang ditakut-takutkan oleh sesetengah pihak.

“Antaranya termasuklah syarikat penerbangan dari Arab Saudi, Iran, Afghanistan, Kuwait, Pakistan dan Asia Tengah seperti Saudia, Kuwait Airways dan Pakistan International Airlines (PIA),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada AirAsia atas inisiatif memperkenalkan hidangan tempatan iaitu cendol dalam penerbangan mereka bermula 17 Februari lalu.

Beliau menjelaskan bahawa usaha tersebut mencerminkan kepekaan syarikat berkenaan terhadap kepelbagaian cita rasa penumpang, di samping berjaya mengetengahkan potensi produk tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada masa sama, beliau mengimbau kembali sesi perbahasannya di Dewan Rakyat tahun lalu yang menegur amalan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) kerana masih menghidangkan arak kepada penumpang.

“Syarikat penerbangan nasional sewajarnya lebih sensitif terhadap nilai dan aspirasi masyarakat, khususnya dalam konteks Malaysia sebagai negara majoriti Muslim.

“Saya percaya pendekatan yang lebih sensitif terhadap nilai masyarakat ini boleh dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah, tanpa menjejaskan daya maju komersial atau daya saing industri penerbangan negara.

“Malah, pendekatan sedemikian berpotensi memperluaskan pasaran dan meningkatkan keyakinan segmen penumpang tertentu,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap perbincangan mengenai penghidangan arak dalam penerbangan dapat dinilai secara rasional, berfakta dan berasaskan realiti industri, bukannya ditanggapi sebagai ancaman kepada kelangsungan sesebuah syarikat penerbangan. – HARAKAHDAILY 27/2/2026

- Advertisement -