Pijak al-Quran: Ucapan kebencian di medsos meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan media sosial (medsos) bukan sekadar sebuah wadah, tetapi juga merupakan ruang awam yang memerlukan etika ketika risiko fitnah dan ucapan kebencian semakin meningkat.

Yang Dipertua PUM, Prof. Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, menjadi peranan institusi pendidikan untuk menerapkan elemen tersebut terutamanya dikalangan warga akademik termasuk Mahasiswa dan juga Pensyarah.

- Advertisement -

Menurutnya, etika media sosial bukan sekadar adab, tetapi turut melibatkan integriti akademik, malah mahasiswa sering dilihat sebagai jurucakap masyarakat yang menjadikan setiap hantaran mempunyai impak besar.

“Pendidikan adalah medan pembinaan adab dan ilmu. Mahasiswa dan warga akademik seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam mengamalkan wacana berfakta, berhemah dan berasaskan hujah ilmiah, bukan emosi atau sentimen.

“Media sosial menuntut etika digital. Setiap individu adalah ‘penerbit’ pada hari ini. Maka setiap perkongsian akan dipersoalkan bukan sahaja undang-undang, tetapi juga di sisi agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pelajar Universiti Malaysia Pahang al Sultan Abdullah (UMPSA) yang ditahan polis, hari ini kerana disyaki membuat penghinaan berbaur keagamaan, perkauman dan institusi Diraja di media sosial.

Sejak semalam tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di platform media sosial, Treads dengan menggunakan nama akaun ryandaselva.

Luqman Abdullah turut menekankan bahawa kebebasan bersuara yang menjadi hak asasi dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun ia tidak mutlak serta tertakluk kepada sekatan undang-undang demi keselamatan negara.

Selain itu katanya, rakyat juga perlu menghormati kedudukan istimewa Institusi Raja-raja dan agama Islam dalam Perlembagaan, bukan sahaj tuntutan undang-undang malah sebahagian pengajian ke negara dalam silibus pendidikan.

“PUM meminta agar rakyat mengamalkan pendekatan hikmah, dialog dan pendidikan dalam menangani isu-isu 3R, Raja, Kaum dan Agama, apatah lagi perbezaan pandangan tidak menjadi punca permusuhan dikalangan rakyat,” jelasnya yang merupakan mantan Mufti Wilayah Persekutuan.

Sebaliknya, tambah beliau, ia perlu diurus melalui saluran betul berteraskan ilmu dan adab, kita meminta pihak berkuasa dan institusi Islam komited untuk mendidik masyarakat tentang perpaduan rakyat serta keharmonian kaum dan agama.

“Malaysia hanya akan terus aman dan dihormati apabila rakyatnya berdisiplin dalam berkata-kata, matang dalam berbeza pandangan, dan teguh memelihara prinsip keadilan serta keharmonian,” katanya. –HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -