Pertimbang semula pelaburan pusat data AI Melaka

- Advertisement -

BARU-baru ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan bahawa negeri ini bakal menerima pelaburan lebih RM9 bilion bagi membangunkan pusat data berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Pusat data AI yang merupakan yang pertama di negeri ini bakal dibangunkan di Jasin oleh syarikat Victoria Data Centre yang berpangkalan di Hong Kong.

Ia melibatkan pembinaan tiga bangunan pusat data dengan kapasiti kira-kira 100 megawatt (MW) manakala kapasiti teknologi maklumat pula mencecah 96MWM.

- Advertisement -

Dalam meraikan kejayaan menerima satu pelaburan yang dilihat memenuhi kehendak Revolusi Industri 4.0 ini, masih ada banyak faktor yang perlu kerajaan ambil kira.

Sebagai Ahli Parlimen dari Negeri Melaka, saya sempat berbincang dengan beberapa orang pakar yang terlibat dengan bidang teknologi AI ini dan mereka telah memberikan saya beberapa pandangan yang saya percaya boleh menjadi input tambahan kepada Kerajaan Negeri Melaka dalam proses menerima pelaburan berteknologi tinggi ini.

Isu enklaf digital

Antara yang paling utama yang perlu kerajaan negeri Melaka beri perhatian ialah mengenai risiko ‘enklaf digital’ atau ‘pulau digital’.

‘Enklaf digital’ berkaitan dengan kebimbangan pusat data AI ini akan menjadi satu pelaburan yang sangat besar tetapi memberi kesan ekonomi yang sangat kecil kepada penduduk setempat.

Atau dalam bahasa mudahnya, Melaka akan terkenal dengan kewujudan pusat data AI ini, tetapi ‘pusat data AI ini tidak kenal pun Melaka’.

Dalam isu ini, apa yang biasa berlaku, data-data yang diterima diproses di loji itu di Malaysia tetapi nilai sebenar seperti model, IP atau keuntungan adalah milik syarikat luar.

Perniagaan pusat data AI tidak seperti perniagaan dan perkilangan yang mengeluarkan atau menjual barang-barang fizikal yang boleh dikawal jual belinya dan proses saluran pengedarannya.

Ia berlaku secara dalam talian semata-mata dan melibatkan transaksi yang luas dan bebas ke seluruh dunia.

Situasi ini boleh menyebabkan Malaysia atau spesifiknya Melaka sekadar menjadi penyedia tanah, tenaga dan air semata-mata tanpa menerima faedah langsung bagi rakyat tempatan.

Kurang guna tenaga pakar tempatan

Model perniagaan pusat data AI seperti ini adalah loji berteknologi tinggi di mana ia melibatkan kakitangan-kakitangan yang sangat pakar, namun jumlah yang diperlukan biasanya tidak ramai.

Ini ditambah dengan syarikat tersebut yang berasal dari China yang dalam amalan biasa, mereka biasanya akan menggunakan tenaga kerja mereka sendiri yang dibawa dari Tanah Besar.

Maksudnya, walau pun perniagaan ini melibatkan pelaburan besar bernilai RM9 bilion, namun kita bimbang ia kurang memberikan manfaat dari segi peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka terutamanya.

Tekanan penggunaan elektrik

Selain itu, pusat data AI menggunakan graphic processing unit (GPU) berbanding pusat data internet biasa yang menggunakan central processing unit (CPU).

GPU yang digunakan dalam kuantiti besar ini  menggunakan kuasa yang boleh mencapai ratusan megawatt (MW) di mana ia akan mewujudkan satu beban besar ke atas grid TNB.

Tambahan lagi, kawasan terbabit iaitu Daerah Jasin berpotensi mengalami gangguan bekalan selain kos tenaga bakal meningkat untuk pengguna lain.

Tekanan penggunaan air

GPU juga menggunakan teknik penyejukan cecair (liquid cooling) yang menggunakan air yang sangat banyak berbanding CPU yang biasanya menggunakan penyejukan angin atau udara.

Ini bakal menjadi satu bebanan kepada kerajaan bagi memastikan negeri mempunyai bekalan air yang mencukupi yang diperlukan oleh pusat data ini.

Ini ditambah lagi dengan Melaka sendiri pernah beberapa kali berdepan isu kekurangan air yang berlarutan sebelum ini ditambah dengan isu ini juga melanda Johor baru-baru ini.

Johor pada masa ini adalah antara negeri yang paling aktif menerima pelaburan pusat data AI dengan YTL Green Data Centre Park di Kulai menjadi pelaburan terbesar setakat ini.

Pada masa ini  terdapat 22 pusat data aktif di Johor sementara lapan dalam pembinaan dengan sasaran 90 pusat data hingga 2027.

Pada masa ini terdapat isu kekurangan air yang serius di Johor yang dipercayai berpunca daripada penggunaan air yang sangat besar oleh pusat data AI.

Kerana itu Kerajaan Negeri Melaka harus menimbangkan kemungkinan ini yang boleh meningkatkan risiko di kawasan luar bandar seperti Jasin yang akan memberi tekanan ke atas empangan dan sumber air tempatan di mana ia boleh mewujudkan konflik penggunaan air antara penduduk dan industri.

Kawalan terhadap risiko enklaf digital

Antara maklumat umum yang saya dapat, Singapura adalah antara negara yang paling berjaya dalam tindakan mengurangkan risiko enklaf digital dengan mengenakan syarat ketat selain tidak memberi lesen yang banyak untuk membuka logi seperti itu.

Singapura membekukan pembukaan pusat data baru dari 2019 hingga 2022 dan meletakkan syarat ketat seperti pemindahan teknologi dan harus selari dengan kepentingan negara.

Saranan saya buat Kerajaan Melaka

Berikut ialah beberapa saranan dari pihak saya sebagai penambahbaikan kepada projek ini:

Pertama, kerajaan negeri wajar mewajibkan penggunaan sistem penyejukan tertutup (closed loop liquid cooling system) yang menggunakan air kitar semula atau air bukan gred minuman, bagi mengelakkan tekanan ke atas bekalan air rakyat.

Kedua, kerajaan negeri perlu mewajibkan laporan WUE (Water Usage Effectiveness) dengan sasaran WUE rendah sebagai syarat lesen operasi yang mana perkara ini sudah menjadi amalan di negara-negara lain.

Ketiga, kerajaan perlu memastikan pusat data ini tidak membebankan grid awam dengan mewajibkan peratusan tertentu tenaga mestilah datang daripada sumber boleh diperbaharui. Contohnya, on-site solar farm atau pelabur beli elektrik dari pembekal elektrik swasta (private power purchase agreement).

Keempat, kerajaan perlu menetapkan minimum peratusan pekerja tempatan, wujudkan pusat latihan AI atau data centre bersama universiti tempatan dan membuat program pensijilan untuk anak Melaka bagi mengatasi masalah ‘Pulau Digital’ (enklaf digital).

Pusat data AI kurang beri manfaat kepada rakyat

Kita bukan menolak pelaburan berteknologi tinggi, namun sekiranya kita hanya sekadar menjadi tuan rumah dan rakyat tidak mendapat faedah daripada pelaburan yang diterima.

Jika itulah yang berlaku, maka ia tidak memenuhi tujuan asal mengapa sesebuah negara atau negeri itu berlumba-lumba menarik pelabur masuk ke negara masing-masing.

Jika kita buat perbandingan, sebuah kilang yang membuat perkakasan komputer akan memerlukan pekerja daripada operator pengeluaran sehingga kepada jurutera, mewujudkan peluang perniagaan seperti logistik, penyelenggaraan, kawalan keselamatan dan banyak lagi.

Namun, seperti yang telah kita bincang tadi, sebuah pusat data AI biasanya menggunakan sebahagian besar pekerjanya adalah pekerja berkemahiran tinggi dan profesional dan jumlahnya juga tidak ramai.

Jika kita fikir secara mendalam, mengapa syarikat-syarikat gergasi teknologi ini lebih memilih untuk membuka pusat data AI ini di Malaysia dan bukan di negara asal mereka sendiri.

Ia adalah kerana masalah-masalah yang telah kita bincangkan tadi yang boleh mengganggu kehidupan masyarakat tempatan.

Maka dengan itu saya berharap agar Kerajaan Negeri Melaka dapat mempertimbangkan semula pembinaan pusat data AI ini yang dibimbangi akan lebih mendatangkan mudarat berbanding manfaatnya kepada rakyat negeri ini.

BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka – HARAKAHDAILY 24/2/2026

- Advertisement -