
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Malaysia, Mohamed Sukri Omar mengingatkan bahawa kreativiti dalam perniagaan perlu berlandaskan syariat dan budaya tempatan.
Beliau menasihati demikian sebagai ulasan kepada video tular seorang lelaki berpakaian seperti duyung di hadapan gerai air balang bertujuan menarik perhatian orang ramai bagi melariskan jualan dipercayai berlaku di Pengkalan Chepa.
Video berdurasi 26 saat yang dimuat naik di Facebook pada Isnin memaparkan lelaki berkenaan lengkap dengan kostum duyung dan rambut palsu sambil berjoget serta memegang air balang.
Rakaman itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menganggapnya strategi pemasaran kreatif, namun sebahagian lain menyifatkannya keterlaluan dan tidak sensitif terhadap norma masyarakat, lebih-lebih lagi ketika Ramadan.
Mohamed Sukri berkata, Malaysia sebagai negara majoriti Muslim menekankan norma kesopanan tinggi, justeru promosi yang menimbulkan kekeliruan jantina atau rasa kurang senang perlu dinilai secara serius dan berhemah.
“Sebagai Muslim dan pemimpin masyarakat, pendirian saya jelas. Kreativiti dalam perniagaan mesti ada batasnya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Dalam pada itu, beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2, “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
Beliau juga merujuk sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan Abu Dawud, “Barang siapa menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”
Menurut Mohamed Sukri lagi, konteks hadis tersebut luas dan memerlukan kefahaman fiqh yang tepat, namun prinsip asasnya ialah Islam menjaga identiti, fitrah dan batas akhlak dalam masyarakat.
Justeru, beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak terlalu cepat menghukum kerana peniaga terbabit mungkin sekadar bertujuan kreatif, namun turut mengingatkan bahawa kreativiti mesti disandarkan kepada nilai tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, antara langkah dicadangkan bagi memastikan keseimbangan antara kreativiti perniagaan dan nilai budaya tempatan termasuk merangka garis panduan promosi oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan, mengambil kira sensitiviti agama serta budaya setempat.
“Kedua, meningkatkan pendidikan dan kesedaran kepada peniaga, khususnya usahawan kecil, bahawa strategi pemasaran sensasi tidak semestinya membawa keberkatan dan kelangsungan jangka panjang.
“Seterusnya, mengutamakan pendekatan nasihat dan bimbingan sebelum tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran norma, selaras dengan prinsip amar makruf nahi mungkar.
“Kita mahu anak muda berniaga secara inovatif, tetapi juga beradab, berakhlak dan menjaga keharmonian. Keseimbangan adalah kunci.
“Kreativiti berpandu syariat membawa keberkatan, manakala sensasi melampaui batas hanya menimbulkan polemik dan perpecahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2026











