
SHAH ALAM: Pelantikan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu disifatkan mencerminkan satu pendekatan kepimpinan yang lebih profesional dan rasional bagi mendepani cabaran politik masa kini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pengalaman luas Menteri Besar Terengganu itu dalam tadbir urus kerajaan negeri berserta latar belakangnya sebagai seorang tokoh ilmuwan memberi keyakinan tinggi kepada masa depan gabungan tersebut.
“Kepimpinan beliau memberikan keyakinan bahawa tampuk pimpinan boleh dilaksanakan secara berprinsip, berintegriti dan berorientasikan hasil.
“Pelantikan ini juga hadir tepat pada masanya ketika negara sedang berdepan dengan pelbagai isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, situasi semasa negara kini menuntut peranan kepimpinan pembangkang yang berwibawa dan memahami kegelisahan rakyat.
Jelasnya, pembangkang perlu mampu mengemukakan cadangan penyelesaian yang munasabah serta bertanggungjawab demi kepentingan bersama.
Dalam pada itu, Ab Halim turut merakamkan penghargaan kepada mantan Pengerusi PN, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin atas sumbangan dan peranan besar beliau dalam membina asas PN sebagai sebuah gabungan politik yang tersusun dan berfungsi dalam kerangka demokrasi negara.
Menyentuh mengenai konteks negeri Selangor, beliau berkata, kualiti tadbir urus dan kejelasan dasar amat penting kerana ia mempengaruhi keyakinan pelabur, peluang pekerjaan, kualiti pendidikan serta keharmonian antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk.
Justeru menurutnya, PAS Selangor komited untuk terus menyumbang secara konstruktif dalam PN dengan membawa pendekatan politik inklusif, berprinsip dan berpaksikan polisi awam yang adil untuk semua lapisan masyarakat.
“Komitmen ini menuntut proses memperkukuhkan PN di negeri Selangor untuk menampilkan struktur organisasi yang lebih tersusun, jelas hala tuju dan bersedia menjadi nukleus harapan rakyat Selangor.
“Oleh itu, saya mengajak rakyat Selangor untuk terus menilai kepimpinan berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah, kejujuran dalam pentadbiran dan kesungguhan menjaga kepentingan bersama, demi memastikan masa depan Selangor yang progresif, berdaya saing dan sejahtera,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/2/2026











