Bersedia untuk Malaysia

- Advertisement -

MEREKA kata rakyat perlukan politik baharu. Tetapi mereka sendiri masih terkurung dalam sangkar lama.  Masih bernafas dengan dendam silam. Masih bergantung pada episod semalam.

Masih menjadikan konflik peribadi sebagai bahan bakar untuk terus hidup. Masih jadikan episod londeh menjadi pelengkap resepi dendam lama politik.

Rakyat sudah letih. Letih dengan kitaran nama yang sama, wajah yang sama, drama yang sama walau ditepuk dengan kosmetik pelbagai.

- Advertisement -

Negara tidak boleh terus berpusing dalam orbit lama bertukar watak tetapi skripnya serupa. Kuasa dijadikan medan membalas.

Jawatan dijadikan alat menyambung pengaruh. Akhirnya rakyat hanya menjadi penonton dalam permainan elit yang tidak pernah selesai.

Di saat itulah PAS melangkah berani. Bukan menunggu runtuhnya yang lama, tetapi menyiapkan yang baharu. Kepimpinan segar. Kepimpinan yang tidak dibebani episod mahkamah. Tidak terikat perjanjian lama. Tidak memikul luka peribadi yang diwariskan kepada negara.

PAS faham; politik matang bukan soal siapa paling lama, tetapi siapa paling bersedia. Bukan siapa paling kuat bersuara, tetapi siapa paling kukuh prinsipnya.

Fasa kepimpinan berlegar sekitar bayang-bayang lama akan sampai ke penghujungnya. Nama-nama besar tidak lagi cukup untuk memukau. Retorik tidak lagi cukup untuk memerintah. Simbol nostalgia tidak lagi cukup untuk menyelamatkan masa depan.

Malaysia memerlukan watak baharu. Watak yang membina tanpa dendam. Memimpin tanpa ego. Berprinsip tanpa bersandiwara.

Dan bila kepimpinan baharu itu benar-benar bangkit, ia tidak perlu menjerit untuk diyakini. Ia tidak perlu menghina untuk kelihatan kuat. Ia tidak perlu membalas untuk kelihatan hebat.

Kerana yang benar-benar matang, tenangnya lebih menggetarkan daripada amarah. Dan saat itu tiba, yang akan gugur bukan prinsip, yang akan tenggelam bukan rakyat, tetapi politik lama yang terlalu lama menumpang atas bahu negara.

Apa PAS tawarkan? Ini bukan politik cuba-cuba. Ini bukan perubahan kosmetik tukar wajah, kekal cara. PAS tidak menunggu negara rosak untuk berfikir. PAS berfikir sebelum negara rosak. Pelan disusun awal. Kader dilatih senyap.

Struktur diperkemas tanpa gendang propaganda. Ketika yang lain sibuk menyelamatkan reputasi, PAS menyiapkan generasi. Ketika yang lain berperang dengan bayang sendiri, PAS menyusun masa depan.

Ini beza antara parti yang mengejar kuasa dengan parti yang membina negara. Dan bila rakyat menilai dengan akal, bukan emosi, mereka akan nampak siapa sekadar bercakap mengenai perubahan, dan siapa yang sudah lama membinanya dalam diam.

Perubahan bukan lahir dari jeritan di pentas. Ia lahir dari pelan yang siap sebelum orang lain sedar permainan sudah berubah.

AKHI MAL – HARAKAHDAILY 24/2/2026

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1BtzTk8cKA/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -