Dr Ahmad Samsuri diumum Pengerusi PN baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) dengan sebulat suara melantik Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta merta.

- Advertisement -

Keputusan tersebut dicapai dan diumumkan dalam satu kenyataan media bersama empat presiden parti komponen PN yang bermesyuarat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini jam 3 petang hari ini.

Mereka ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden MIPP, P.Punithan.

“Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.

“Perkara-perkara lain akan dibawa untuk dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang,” ujar kenyataan tersebut.

Bermula di Perlis di mana berlaku penolakan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan lima ADUN BERSATU terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli telah menyebabkan kemelut dalaman PN.

Peletakan jawatan Mohd Shukri dan pelantikan Menteri Besar baharu daripada BERSATU telah menyebabkan desakan dalaman hingga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan peletakan.

Sejak itu, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN gagal diadakan walaupun usaha dilakukan oleh beberapa pemegang jawatan dalam komponen tersebut hingga keadaan lebih kritikal berlaku dalam BERSATU.

Dr Ahmad Samsuri antara nama disebut-sebut sebagai Pengerusi PN menggantikan Muhyiddin di mana beliau adalah Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 22/2/2026

- Advertisement -