
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menjangkakan perkara lebih buruk akan berlaku di ibu negara susulan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merampas Street Dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM) baru-baru ini.
Ketuanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, pihaknya merakamkan ‘tahniah’ kepada DBKL dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan kerana berjaya menyekat usaha dakwah berkenaan.
“Selepas rampasan yang dibuat ini, kita menjangkakan perkara lebih gila lagi akan berlaku di dalam Kuala Lumpur. ‘Tahniah’ DBKL dan ‘tahniah’ Hannah Yeoh kerana berjaya menyekat dakwah!” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hantaran dibuat pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di media sosial miliknya berhubung rampasan yang dilakukan DBKL terhadap Street Dakwah MRM.
Menurutnya, DBKL juga melakukan penstrukturan dalam pentadbiran dengan memberi peranan lebih banyak dan besar kepada Ahli Parlimen Kuala Lumpur untuk menerajui, sekali gus memberi akses luas kepada DAP.
“Maka tidaklah pelik jika usaha dakwah yang tidak meletakkan binaan kekal di atas laluan pejalan kaki seperti dilakukan pihak MRM akan mendapat sekatan,” tegasnya.
Tambah Azmer, pihaknya tidak terkejut dengan sikap baharu yang ditonjolkan DBKL kerana badan itu berada di bawah pentadbiran baharu sejak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletakkan Hannah Yeoh sebagai peneraju Kementerian Wilayah Persekutuan.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Firdaus Wong mempersoalkan tindakan DBKL merampas khemah MRM di Jalan Bukit Bintang dengan menyatakan alasan menghalang laluan tidak konsisten serta membandingkannya dengan isu sebuah kuil di ibu negara.
DBKL mendakwa tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut undang-undang selepas mendapati berlaku pelanggaran peraturan pemasangan khemah di laluan awam dan tiada wakil tampil memberi kerjasama selepas menunggu lebih 30 minit.
Firdaus menafikan dakwaan itu dengan menegaskan bahawa terdapat sukarelawan di lokasi, mempersoalkan ketiadaan kompaun dan inventori rampasan serta mencabar DBKL mengeluarkan rakaman CCTV sebagai bukti. – HARAKAHDAILY 19/2/2026











