Bukan Islam tidak boleh mempropaganda kalimah atau istilah Islam

- Advertisement -

PENGENALAN

Orang bukan Islam dilarang dari menggunakan kalimah atau istilah Islam bagi tujuan propaganda, pengembangan doktrin atau kepercayaan agama yang bertentangan akidah Islam dalam kalangan orang yang menganut agama Islam. Begitu juga dengan tujuan menghina, mengejek, mempersendakan orang atau agama Islam.

Namun Islam tidak menghalang orang bukan Islam untuk mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dalam konteks menzahirkan kesyukuran atas nikmat dunia atau apabila sesuatu yang terpuji berlaku. Ini tidak dianggap sebagai larangan agama, kerana ia dilihat sebagai pengakuan akan nikmat Tuhan atau ungkapan syukur atas kebaikan, yang tidak berdosa, menurut prinsip umum bersyukur kepada Tuhan atas nikmat-Nya.

Dalam pergaulan duniawi: Tidak ada bantahan untuk bertukar-tukar kata-kata yang baik dan melayan orang bukan Islam dengan baik, termasuk mengucapkan terima kasih dengan ungkapan seperti ‘Alhamdulillah’ atau ‘Jazak Allahu Khairan’ (dengan niat untuk memenangi hati mereka dan membimbing mereka).

Dalam konteks kematian: Sesetengah ulama telah membenarkan orang bukan Islam mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un’ (Kita kepunyaan Allah dan kepada-Nya kita kembali) apabila mengalami musibah seperti kematian, memandangkan semua manusia adalah milik Allah.

- Advertisement -

Antara pujian dan tauhid

Walaupun mereka orang bukan Islam mungkin menyatakan terima kasih dan kesyukuran melalui ucapan ‘Alhamdulillah’, pujian yang lengkap dalam pengertian ibadah dan berasaskan iman dikaitkan dengan tauhid. Ucapan tersebut tidak lengkap selagi mereka tidak beriman. Namun mereka dibenarkan dan selagi tidak ada mudaratnya.

Antara keharusan dan larangan

Keharusan ini tidak secara mutlak, ia dibenarkan selagi ia tidak disalahkan gunakan untuk menyelewengkan akidah, tujuan proganda ‘to propagate’, menghina, mengejek dan merendahkan martabat orang dan agama Islam.

Tindakan waspada dan berhati-hati ini adalah amat penting diambil perhatian oleh umat Islam dan lebih lebih lagi pihak yang berkuasa supaya ini tidak dipermain-mainkan. Begitu juga orang bukan Islam yang hendak menggunakan perkataan atau kalimah tersebut supaya lebih berhati-hati menjaga batas tertentu.

Al-Quran mengingat bahawa ada golongan berperanan seperti tersebut yang telah wujud dari zaman dulu lagi hingga ke akhir zaman.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 14:

وَإِذَا لَقُوا۟ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوْا۟ إِلَىٰ شَيَـٰطِينِهِمْ قَالُوٓا۟ إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِءُون اية  ١٤

Maksudnya:

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

Al-Quran menjelaskan mereka tersebut  mempunyai tujuan tertentu. Firman Allah SWT dalam surah al-Shof, ayat 8:

‎يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم  نوره ولو كره الكافرون ۝  [الصف: ٨]‏

Maksudnya:

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).”

Begitu juga budaya Melayu amat menjaga hidup bertoleransi berbilang bangsa dan agama namun banyak pepatah yang mengingatkan supaya sentiasa berwaspada  antaranya: “Buat baik berpada pada, buat jahat jangan sekali”. bermaksud seseorang itu perlu bersederhana dalam menolong atau melakukan kebaikan agar tidak dipergunakan orang, manakala perbuatan jahat hendaklah dihindari sepenuhnya. Ia mengajar mengenai keseimbangan, kebijaksanaan, dan kesederhanaan dalam tingkah laku harian.

Dalam beberapa keadaan ada orang yang mengambil kesempatan mengaburi mata kita dengan kebaikan dirinya untuk mencapai matlamat tertentu. Antaranya peribahasa Melayu ‘Musang berbulu ayam’ Wolf in sheep’s clothing (Bahasa Inggeris).

Wasiat raja-raja dan pimpinan Melayu lama

Sistem beraja era Kesultanan Melayu sentiasa menjaga kepentingan agama dan bangsa. Sebelum Raja menyerahkan kuasa kepada sistem Raja Berperlembagaan maka raja-raja meletakkan wasiat yang masih kekal dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan menjaga agama Islam dan kedaulatan negara.

Itulah yang menjadi tinggalan dan kekal dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel (3), Artikel (11) 4 dan sebagainya.

Undang-undang kawalan akidah dan  pengembangan apa-apa iktikad dan doktrin

Berikut dengan peruntukan kuasa di bawah Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang negeri boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganut agama Islam.
Dengan itu negeri-negeri dikehendaki supaya diperbuat suatu undang-undang untuk mengawal dan menyekat pengembangan iktikad dan kepercayaan-kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang-orang yang menganuti agama Islam.

Hampir semua negeri di Malaysia telah menggubal enakmen atau undang-undang untuk mengawal penyebaran agama atau ajaran bukan Islam kepada orang Islam, selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Antara negeri yang telah melaksanakan enakmen kawalan dan sekatan ini termasuklah Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, serta Sabah dan Sarawak melalui ordinan jenayah syariah yang berkaitan.

Secara khususnya, negeri-negeri ini mempunyai peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah masing-masing yang melarang:

* Penyebaran ajaran atau doktrin bukan Islam kepada umat Islam.

* Penyiaran atau pengedaran bahan yang bertentangan dengan hukum syarak.

* Penyebaran ajaran sesat (seperti Syiah) yang mengancam akidah Islam.

Undang-undang ini memberikan kuasa kepada pihak berkuasa agama negeri untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan doktrin yang dianggap menjejaskan akidah umat Islam di negeri-negeri tersebut.

Antara yang diberi perhatian termasuklah kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam.

Contoh Enakmen Ugama Bukan Islam Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), 1988. Selangor.

Seseorang yang tidak berugama Islam adalah melakukan kesalahan jika dia, dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam seksyen kecil (1), menggunakan mana-mana perbahasan yang disenaraikan dalam menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam.

Bahagian II kepada Jadual, kecuali sebagai petikan atau rujukan.

Bahagian I
Perkataan-perkataan yang tidak boleh
digunakan berkaitan dengan ugama bukan Islam

Allah Illahi Rasul Fatwa
Firman Allah Wahyu Iman Imam
Ulama Mubaligh Dakwah Nabi
Hadith Syariah Injil Sheikh
Ibadah Qiblat Salat
Kaabah Haji Khalifah
Kadi Mufti Wali

Bahagian II
Perbahasan yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam berkaitan dengan
ugama bukan Islami

Subhanallah
Alhamdulillah Lailahaillallah Walillahilhamd
Allahu Akbar
Insyaallah
Astaghfirullahal ‘Azim
Tabaraka Allah
Masyaallah
Lahaula Walaquata Illabillahilaliyil Azim.

Kesimpulan

Islam menekankan adab, toleransi, dan penghormatan terhadap penganut agama lain serta melarang keras perbuatan mencaci, menghina dan mengolok-ngolok sembahan masing-masing.

Dalam surah al-An’am ayat 108, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan…”.

Prinsip ‘Untukmu agamamu, untukku agamaku’:

Islam mengajar toleransi dengan mengakui perbezaan kepercayaan. Ini ditegaskan dalam surah al-Kafirun ayat 6: “Untuk kamu agama kamu, dan untukku agamaku”. Ini bermakna kita menghormati hak mereka untuk beragama, tanpa perlu mengiktiraf atau mengikuti ajaran mereka. Begitulah juga sebaliknya.

Salam hormat dari saya,

PROF MADYA DATO’ MUHAMAD ASRI ABDULLAH
Mantan Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya.
19 Syaaban, 1447H, Sabtu
07 Februari 2026
Keroh Hulu, Padang Rengas, Perak – HARAKAHDAILY 7/2/2026

Rujukan: https://www.facebook.com/share/p/16v9f33DZW/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -