
KUALA LUMPUR: Usul tergempar berkaitan isu kontroversi melibatkan kedaulatan negara berhubung jajaran baharu sempadan Malaysia-Indonesia, telah ditolak untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
Usul dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal secara rasmi itu ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr Johari Abdul.
Wan Ahmad Fayhsal sehubungan itu meluahkan rasa kesal apabila usul berkaitan kehilangan 5,207 hektar tanah milik negara itu tidak dibenarkan untuk dibahaskan di dalam Dewan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mengecewakan memandangkan blok pembangkang sering dikecam di luar Dewan berhubung isu tersebut.
“Di luar kami dimaki hamun kata bodoh, malas membaca. Seperti yang dicabar oleh Ketua Whip, YB Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), buka gelanggang dulu baru tengok betul ke tidak dakwaan songsang dan jahat tersebut,” katanya.
Terdahulu, beliau mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) bagi mendesak kerajaan merundingkan dan membahaskan berkenaan penyelesaian bersama Masalah Sempadan Tertangguh (OBP).
Namun, melalui surat bertarikh 5 Februari, Johari Abdul memutuskan untuk menolak usul melibatkan keputusan mesyuarat bersama Indonesia-Malaysia ke-45 pada 18 Februari 2025 itu di dalam kamar selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(7)(b).
Alasan penolakan yang diberikan adalah kerana isu tersebut telah diberi penjelasan oleh Perdana Menteri pada sesi Penerangan di Dewan Rakyat, Rabu lalu (4 Februari 2026).
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal mendesak agar kerajaan bersikap telus dengan mendedahkan sepenuhnya isi kandungan rundingan tersebut.
“Zahirkan semua kandungan rundingan dan perjanjian dalam Parlimen! Jangan sekadar bercakap berdegar takkan gadai walau seinci tanah macam Pulau Batu Puteh, tapi ini 5,000 hektar tanah,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/2/2026











