‘Wahai Menteri WP, ini bukan isu takut kajian

’Pilihan Raya PBT telah lama ditolak rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius cadangan pelaksanaan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kini dijenamakan semula sebagai Pilihan Raya Datuk Bandar.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, kenyataan sinikal Menteri Wilayah Persekutuan yang bersandarkan alasan ‘kajian kebolehlaksanaan’ disifatkan sebagai cubaan mengaburi isu sebenar berkaitan cadangan itu.

- Advertisement -

Beliau menegaskan, isu pokok bukanlah soal takut atau enggan kepada kajian, sebaliknya persoalan asas mengenai keperluan kajian berkenaan, sedangkan sejak awal Pilihan Raya PBT merupakan cadangan yang tidak wajar dan tidak sesuai dilaksanakan dalam konteks Malaysia.

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Menteri tidak seharusnya berselindung di sebalik istilah ‘kajian’ bagi menghalalkan agenda politik yang hala tuju dan niatnya sudah jelas.

“Realitinya, kajian ini hanyalah pintu masuk bagi menghidupkan semula agenda Pilihan Raya PBT yang telah lama ditolak rakyat demi menjaga kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa negara ini tidak memerlukan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan kerana sistem sedia ada melalui Pilihan Raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sudah memadai untuk mewakili suara rakyat serta memastikan prinsip kebertanggungjawaban kerajaan kepada rakyat terus terpelihara.

Sehubungan itu katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan pendirian tegas untuk menolak Pilihan Raya PBT dalam apa jua bentuk, versi, penjenamaan atau justifikasi sekalipun.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan Menteri daripada DAP supaya tidak mempertaruhkan kestabilan dan keharmonian negara demi memenuhi agenda politik.

“Jika amaran ini dipandang ringan, jangan terkejut apabila berdepan dengan kebangkitan dan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dijalankan oleh ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bukan DAP, dan masih di peringkat awal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan kajian itu tidak melibatkan pelaksanaan dasar atau pindaan undang-undang, selain hasil kajian masih belum diterima.

Sebarang keputusan menurutnya hanya akan dibawa ke Kabinet selepas dapatan penuh kajian diperoleh. – HARAKAHDAILY 5/2/2026

- Advertisement -