
KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak berhasrat untuk bergerak secara solo dalam menghadapi dinamika politik semasa, sebaliknya kekal memberikan komitmen penuh untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presidennya, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendirian itu dipersetujui di semua peringkat kepimpinan tertinggi parti yang melihat pengukuhan PN sebagai keutamaan utama ketika ini.
Menurut beliau, isu pergolakan atau perbezaan pandangan dalam PN tidak menjadi alasan untuk PAS mengambil haluan berasingan daripada gabungan tersebut.
“Buat masa ini tidak timbul PAS untuk bergerak solo. Keseluruhan kepimpinan tertinggi parti telah membuat kenyataan bahawa antara perkara paling besar yang ingin kita laksanakan sekarang ialah memperkukuhkan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani MoA Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa PAS memahami realiti politik semasa negara dan berpandangan kerjasama dalam PN perlu diperkasakan bagi memastikan kestabilan serta kelangsungan perjuangan parti politik gabungan itu.
“Kita menyedari hakikat realiti politik semasa yang wujud dalam negara dan kita akan terus memperkuatkan PN,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas pula mengenai konflik kepimpinan yang dikatakan berlaku dalam PN, Ahmad Samsuri berkata, perkara tersebut dijangka dapat diselesaikan melalui saluran perbincangan rasmi apabila mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan kelak.
“Insya-Allah apabila mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan, perkara ini dapat diselesaikan. Bila mesyuarat itu akan berlangsung, saya sendiri belum dimaklumkan,” katanya.
Tidak ketinggalan, mengulas spekulasi mengenai nama beliau dipetik untuk menerajui gabungan tersebut Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perkara itu berada di luar pengetahuannya.
“Itu saya tidak pasti kerana saya bukan ahli mesyuarat. Sekiranya perkara itu benar, ia akan diketahui apabila sampai waktu dan ketikanya nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2026











