Tamak, gila jawatan: PAS jawab BERSATU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menjawab tuduhan jahat yang melabel PAS sebagai tamak serta pemimpinnya gila jawatan, berkaitan kemelut dalam Perikatan Nasional (PN).

“Anda dan beberapa kerat pemimpin anda yang tamak. Masuk BERSATU pada tahun 2023 selepas PRU (Pilihan Raya Umum), dan pandai-pandai label PAS sebagai tamak dan pemimpinnya gila jawatan.

“Jika PAS tamak, PAS tidak serahkan jawatan Ketua Pembangkang (Dewan Rakyat) kepada parti lain, walhal PAS mempunyai kerusi (Parlimen) paling banyak,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Reaksi beliau itu susulan Berita Harian memetik ‘sumber BERSATU’ dan ‘seorang lagi pemimpin BERSATU’ serta Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dalam siarannya hari ini.

Sumber itu mendakwa tindakan PAS mengejar jawatan dalam PN, termasuk mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi tanpa menjemput Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyinggung kepimpinan BERSATU.

Seorang lagi pemimpin BERSATU secara sinis menyatakan PAS anggap partinya kuat dan besar, dengan kapasiti bertanding sendiri menggunakan jentera dan sumber sendiri di beberapa negeri.

Pemimpin BERSATU itu menekankan, PN lebih sesuai dikukuhkan bersama gabungan lain seperti Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan PNPlus, tanpa PAS memimpin, bagi mengekalkan kesederhanaan dan kestabilan gabungan.

- Advertisement -

Ustaz Ahmad Fadhli bagaimanapun turut mengingatkan mereka, PAS juga tidak terus menuntut jawatan Pengerusi PN sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, walaupun jumlah kerusi PAS lebih banyak.

Menurutnya, PAS hanya membangkitkan soal Pengerusi PN selepas melihat arah tuju BERSATU yang disifatkannya semakin membimbangkan dan memberi kesan kepada PN.

Beliau berkata, PAS hanya mahu menyelamatkan situasi dan bergerak dengan gerak kerja yang sepatutnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Anda dan beberapa kerat pemimpin anda nampaknya tidak berminat ke arah itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Terdahulu, krisis bermula apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN telah bertindak menarik balik sokongan mereka terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli pada 22 Disember 2025.

Pada, 24 Disember, PAS Pusat memuktamadkan ketetapan bahawa tiga ADUN PAS yang terbabit dalam komplot itu telah terhenti keahlian PAS mereka, namun BERSATU tidak membuat sebarang tindakan ke atas lima ADUN parti itu.

Lanjutan kemelut tersebut telah terherer kepada cetusan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin PAS, yang melihat tindakan BERSATU sebagai pelanggaran semangat setia kawan berkaitan kerjasama dalam PN.

Ketegangan ini akhirnya membawa kepada pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026, sebagai usaha meredakan tekanan dalaman gabungan itu.

Pengumuman peletakan jawatan sama turut dilakukan oleh Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa Pengerusi PN Negeri, namun tidak dimuktamadkan secara rasmi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Pengerusi PN mungkin melihat keadaan tergantung tersebut telah menyatakan pandangan rasmi perlunya PN mengadakan Mesyuarat Tergempar.

Bagaimanapun inisiatif beliau pada 10 Januari itu juga tidak mendapat tindakan sewajarnya daripada Muhyiddin, sebaliknya beberapa pemimpin BERSATU terus mempolemikkan perkara-perkara berkaitan panggilan mesyuarat dan Perlembagaan PN.

Bagaimanapun semua pihak kemudiannya menarik nafas lega apabila pada 16 Januari, Muhyiddin membuat hantaran di media sosialnya gambar pertemuan bersama pemimpin tertinggi PAS menyatakan iltizam terus memperkukuhkan PN.

Namun sejak itu pelbagai pertikaian berkenaan jawatan Pengerusi PN berbangkit hinggalah pada 23 Januari, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat panggilan rasmi bagi mengadakan Mesyuarat Luar Biasa PN.

Pun begitu, mesyuarat dijadualkan semalam itu difahamkan telah diminta dibatalkan dan Muhyiddin mahu menggantikannya dengan ‘pre-council’ di kediaman beliau melibatkan Presiden empat parti gabungan itu.

Jemputan ‘pre-council’ melalui surat itu bagaimanapun tersebar secara terbuka kepada media di mana turut menyatakan beberapa perkara yang menurut Muhyiddin sebagai kesepakatan BERSATU dan PAS pada 16 Januari lalu.

Antaranya rombakan struktur dengan mewujudkan Majlis Presiden diketuai BERSATU dan Majlis Eksekutif diketuai PAS serta memansuhkan jawatan Pengerusi PN, sekali gus meminda Perlembagaan PN.

Sekali lagi perkara tersebut mengejutkan banyak pihak apabila PAS menyangkal butiran dinyatakan itu dibincangkan dan dipersetujui khususnya berkaitan mewujudkan Majlis Presiden dan memansuhkan jawatan Pengerusi PN itu. – HARAKAHDAILY 30/1/2026

- Advertisement -