Tangguhkan pelaksanaan murid 6 tahun Darjah 1

Muhamad Hamdi Harun
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mendesak kerajaan supaya mengkaji semula cadangan kemasukan murid berumur enam tahun ke Darjah Satu dan menangguhkan pelaksanaannya sehingga sistem pendidikan negara benar-benar bersedia.

Ketuanya, Muhamad Hamdi Harun berkata, walaupun cadangan tersebut dinyatakan tidak bersifat wajib di bawah Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, ia tetap memberi implikasi besar terhadap hala tuju pendidikan awal dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

- Advertisement -

Menurutnya, sistem pendidikan negara ketika ini masih berdepan pelbagai isu asas termasuk kekurangan guru, kesesakan bilik darjah, beban tugas pendidik serta kemudahan sekolah yang tidak kondusif, khususnya di kawasan luar bandar.

“DPPNT berpandangan bahawa sistem pendidikan negara masih belum bersedia untuk menampung kemasukan murid yang lebih muda, ketika isu asas seperti kekurangan guru, kesesakan kelas, beban tugas pendidik dan kemudahan sekolah yang tidak kondusif masih belum diselesaikan secara tuntas.

“Menambah satu lagi kohort murid tanpa kesiapsiagaan menyeluruh hanya akan memburukkan tekanan sedia ada dalam sistem persekolahan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbandingan dengan negara maju yang melaksanakan kemasukan awal ke pendidikan formal perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak terpisah daripada konteks sebenar.

Hamdi berkata, negara-negara tersebut memiliki ekosistem pendidikan yang stabil dan menyeluruh, berbeza dengan Malaysia yang masih berdepan ketidaksamarataan antara bandar dan luar bandar serta cabaran struktur berpanjangan.

“Negara-negara tersebut memiliki ekosistem pendidikan yang lengkap dan stabil, sedangkan Malaysia masih berdepan ketidaksamarataan antara bandar dan luar bandar serta cabaran struktur yang berpanjangan,” katanya.

Dari sudut perkembangan kanak-kanak pula, DPPNT berpandangan usia enam tahun merupakan fasa sensitif yang memerlukan pendekatan lebih fleksibel dan berperingkat, bukan pembelajaran formal yang terlalu berstruktur.

“Kemasukan terlalu awal ke pembelajaran formal berstruktur berisiko memberi kesan negatif terhadap emosi, keyakinan diri dan minat anak-anak terhadap pembelajaran, di samping mewujudkan tekanan psikologi kepada ibu bapa,” katanya.

Sehubungan itu, DPPNT menggesa kerajaan membentangkan pelan perancangan yang telus, berpaksikan data dan memberi keutamaan kepada penyelesaian isu teras pendidikan negara sebelum memperkenalkan sebarang dasar baharu yang berpotensi menjejaskan masa depan anak-anak.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, mulai tahun hadapan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala tahun satu pada usia enam tahun, namun pelaksanaannya tidak diwajibkan bagi memberi ruang kepada semua pihak membuat persediaan, termasuk warga pendidik. – HARAKAHDAILY 29/1/2026

- Advertisement -