PPMM kesal tindakan terhadap aktivis isu pencerobohan tanah

Hak orang awam di bawah Perlembagaan perlu dihormati tanpa sebarang intimidasi

Muhamad Hisham Marzuki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menzahirkan rasa kesal dan memandang serius tindakan pihak berkuasa yang dilihat menekan aktivis yang mendedahkan isu pencerobohan tanah serta pembinaan rumah ibadat haram di negara ini.

Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki menegaskan bahawa pihak-pihak yang berani membongkar salah laku, membuat laporan, atau mengkritik binaan haram yang tidak mengikut proses undang-undang tidak sepatutnya dilayan seperti penjenayah.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan seperti merampas telefon bimbit dan melakukan penahanan reman terhadap mereka yang menyuarakan kebenaran adalah satu bentuk intimidasi yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang.

“Jika kenyataan mereka perlu direkodkan, proses perundangan yang betul tanpa sebarang intimidasi perlu dilakukan tanpa sebarang penahanan atau rampasan sehingga permohonan reman.

“Penahanan sebegini akan memberi impak negatif terhadap integriti dan kebebasan pihak berkuasa, kerana ia kelihatan seolah-olah sengaja menggunakan taktik menakut-nakutkan orang awam daripada membongkar pencerobohan tanah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau merujuk kepada insiden pada 27 Januari lalu yang melibatkan dua aktivis, Tamim Dahri dari Tanah Malaya dan Islah Wahyudi, Pengerusi Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI).

Tamim dilaporkan disiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telefon bimbitnya dirampas, manakala Islah Wahyudi ditahan di lokap IPD Sepang semalaman sebelum pihak polis memohon perintah reman di mahkamah.

Walau bagaimanapun, Majistret Khairatul Animah Jelani menolak permohonan reman tersebut dan memerintahkan Islah dibebaskan serta-merta pada pagi semalam.

Sehubungan itu, PPMM mengingatkan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta PDRM bahawa kuasa yang ada adalah amanah yang tidak wajar disalahgunakan untuk mengekang suara rakyat.

“Adalah lebih mustahak agar kuasa yang ada sebaliknya digunakan bagi mengambil tindakan ke atas para penceroboh sama ada di tanah persendirian atau tanah kerajaan tanpa sikap pilih kasih (selective),” tegas beliau lagi.

Beliau turut memetik penghakiman kes Lee Loy & Ors v Poh Kam Sang & Anor (2018) 3 MLJ 240, di mana Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak boleh dan tidak sepatutnya melindungi atau membela penceroboh.

Sehubungan itu, PPMM menggesa agar hak dan perlindungan orang awam di bawah Perlembagaan Persekutuan sentiasa dihormati oleh pihak penguatkuasa tanpa tunduk kepada sebarang tekanan luar. – HARAKAHDAILY 29/1/2026

- Advertisement -