
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak bersetuju jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan, sebaliknya ia mesti kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan gabungan itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Presiden PAS sudah menyatakan dengan jelas pendirian parti bahawa struktur PN perlu dikekalkan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan tidak boleh diubah.
“Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa Perikatan Nasional ditadbir oleh satu Majlis Tertinggi. Segala urusan PN hendaklah ditadbirkan oleh majlis tertinggi yang berfungsi sebagai badan tertinggi Perikatan Nasional.
“Majlis tertinggi hendaklah mengandungi Pengerusi, Timbalan Setiausaha Agung dan semua sekalilah,” ujarnya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Takiyuddin yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkata, sebarang perubahan terhadap struktur itu disifatkan sebagai tindakan tidak berperlembagaan atau ‘unconstitutional’.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, jika ia diubah, tindakan itu boleh mengundang tindakan pihak berkuasa, khususnya Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Dalam pada itu, Takiyuddin turut merujuk kepada surat yang menyatakan hasil perbincangan mengesahkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan isu pelantikan pengerusi tidak berbangkit lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata Presiden PAS dalam surat kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Md Yasin menjelaskan bahawa sepanjang pertemuan pada 16 Januari 2026, isu berkaitan kedudukan Pengerusi PN tidak dibincangkan dan tidak disentuh langsung, apatah lagi diputuskan.
“Isu itu tidak dibincangkan… tak timbullah keputusannya,” tegas beliau yang juga merupakan Ketua Whip Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 29/1/2026











