MB Perlis diperingat tak campuri urusan dalaman PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dinasihati supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pentadbiran kerajaan berbanding mempertikaikan ketetapan PAS berhubung keberhentian keahlian tiga wakil rakyat PAS negeri itu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketetapan yang dibuat PAS Pusat itu berpandukan Perlembagaan PAS susulan tindakan menarik balik sokongan mantan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Tegasnya, PAS tidak boleh berkompromi terhadap mana-mana ahli yang melanggar arahan dan keputusan, malah ia merupakan sebahagian ketetapan rasmi dalam Muktamar PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Menteri Besar Perlis yang baru ni jaga negeri baik-baik cukuplah, tak perlu campur tangan urusan parti, tiga bekas ADUN PAS itu terhenti keahlian kerana langgar disiplin yang termaktub jelas Perlembagaan parti.

“PAS tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin seperti ini. MB cukup jaga negeri dan pastikan tidak jadi MB Perlis tersingkat dalam sejarah, cukup dah tu,” peringatnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memberi amaran isu tersebut tidak akan menemui jalan penyelesaian sekiranya PAS mahu ‘main politik’ sepanjang masa tanpa mengambilkira kebajikan dan kesejahteraan rakyat Perlis.

Menurutnya, enam orang wakil rakyat PAS boleh sahaja mengisytiharkan ‘perang’ terhadap kepimpinan yang ada pada hari ini sebagainya pernah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu.

Beliau berkata, mandat rakyat diberikan kepada parti pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) perlu dilaksanakan sebaik mungkin, sekali gus rakyat dapat menikmati kesejahteraan dan kebajikan pada tahap maksimum.

“Kalau PAS nak main politik, enam orang ADUN PAS boleh isytihar ‘perang’ macam MB (Abu Bakar) sendiri sebelum ini pernah isytihar ‘perang’ kepada kepimpinan MB Perlis (Mohd Shukri) pada November 2023 kerana tidak dilantik jadi Exco.

“Tapi itulah, ADUN PAS ni bukan macam Menteri Besar dan parti kami bukan macam parti Menteri Besar, Rakyat lebih utama..,” katanya mengulas mengenai cadangan supaya bekas tiga wakil rakyat dikekalkan.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah melontarkan cadangan agar tiga bekas wakil rakyat tersebut iaitu ADUN Chuping, ADUN Bintong dan ADUN Guar Sanji dikekalkan bagi melancarkan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau mendakwa ketiga-tiga mereka masih mendapat mandat rakyat untuk menjaga kebajikan pengundi dalam kawasan masing-masing dan berhadap satu penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi kestabilan politik dan rakyat. – HARAKAHDAILY 25/1/2026

- Advertisement -