PRU16: Undi wanita mampu jadi ‘king maker’

- Advertisement -

JERANTUT: Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat Negeri Pahang (JPRMNP) bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya kuasa undi wanita bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

- Advertisement -

Dengan fokus utama di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi, segala perancangan telah siap disusun dan dibincang di dalam satu mesyuarat dipengerusikan Pengarahnya, Rohaya Razali, bertempat di Markas PAS Jerantut (KIAS), Kampung Temin, dekat sini, kelmarin.

Mesyuarat penuh kali pertama tersebut telah dihadiri wakil-wakil dari 12 kawasan merangkumi Zon Timur, Tengah dan Pahang Barat.

Ketika berucap usai sesi taaruf bersama wakil-wakil jentera pilihan raya muslimat kawasan, Rohaya menegaskan peranan wanita sangat penting bukan sekadar pembantu tetapi sebagai faktor penentu kemenangan di dalam pilihan raya.

“Jangan pandang sebelah mata kuasa wanita. Dalam pilihan raya, undi wanita mampu menjadi ‘king maker’ kepada kemenangan.

“Kita laksanakan kerja seperti yang diarahkan pimpinan, ‘hati manusia milik Allah, dan Allah-lah yang menentukan kemenangan’,” ujarnya.

Mesyuarat itu menjadi langkah awal JPRMNP untuk memperkukuh strategi, memperkemas jentera, serta memantapkan gerak kerja menjelang PRU16. – HARAKAHDAILY 25/1/2026

- Advertisement -